Anak kelahiran Sungai Siput, Perak ini turut dikenali sebagai tokoh kemerdekaan.
Nama sebenar beliau ialah Thirunyanasambanthan anak lelaki Veerasamy dan dilahirkan pada 16 Jun 1919.
Bapa kepada Tun Sambanthan merupakan salah seorang penanam pokok getah terawal di Sungai Siput dan memiliki beberapa ekar ladang getah.
Setelah melanjutkan pengajian di Universiti Annamalai, India dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera (ekonomi),
Beliau mula menceburkan diri dalam bidang politik dan berjaya membawa suara masyarakat India Tanah Melayu dalam rundingan kemerdekaan.
Salah Seorang ‘Bapa Kemerdekaan Malaysia’
Tun Sambanthan dilantik sebagai presiden Malaysia Indian Congress (MIC) pada tahun 1955 selepas desakan, dan walaupun menerima kritikan, beliau ditenangkan oleh Tunku Abdul Rahman.
Sebagai seorang perunding yang bijak, Tun Sambanthan memastikan kepentingan kaum India terjaga, terutamanya kelas pekerja ladang, dengan latar belakang keluarganya yang memiliki estet.
Beliau mengutamakan toleransi, keharmonian antara kaum, dan berpegang pada ajaran Mahatma Gandhi yang menolak keganasan.
Pada tahun 1956-1957, bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan memainkan peranan penting dalam mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Pernah Menjadi Perdana Menteri Malaysia Selama Sehari
Ramai yang mungkin tidak tahu, Tun Sambanthan pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia sementara selama sehari pada 3 Ogos 1973 ketika Perdana Menteri, Tun Razak berada di Kanada dan timbalannya, Tun Dr Ismail, meninggal dunia.
Portfolio Politik Tun Sambanthan
-Menteri Kesihatan (1957-1959)
-Menteri Kerja Raya, Pos & Telekomunikasi (1959-1971)
-Menteri Perpaduan Nasional (1972-1974)
-Perdana Menteri sementara (Ogos 1973)
Menubuhkan Sekolah Mahatma Gandhi di Perak
Pada tahun 1954, Tun Sambanthan menubuhkan Sekolah Mahatma Gandhi Kala Salai di estet miliknya di Sungai Siput, Perak. Sekolah ini masih beroperasi sehingga kini dan menawarkan pendidikan dalam bahasa Inggeris kepada anak-anak pekerja estet.
Mengembalikan Tarian Singa Selepas Dilarang Selepas Peristiwa 13 Mei
Sebagai Menteri Perpaduan Nasional, Tun Sambanthan memainkan peranan penting dalam mengembalikan tarian singa yang dilarang oleh kerajaan selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Beliau mengadakan rundingan dengan pemimpin kaum Cina untuk meredakan ketegangan antara kaum.
Sering Memakai Dhoti
Tun Sambanthan sering memakai pakaian tradisional Tamil, Dhoti, walaupun ia dianggap tidak sesuai pada zaman British.
Beliau berkeras untuk memakainya kerana merasakan ia mendekatkan dirinya dengan rakyat.
Nama Diabadikan
Tun Sambanthan meninggal dunia pada tahun 1979 akibat serangan jantung pada usia 59 tahun. Nama beliau diabadikan pada Stesen LRT Tun Sambanthan dan Wisma Tun Sambanthan. Beliau dikebumikan di kampung halamannya di Sungai Siput, Perak.
BACA: Penghargaan atas jasa, Sarjan Misai terima gaji sepanjang hayat dari Skop Production