Teh Tarik merupakan salah satu minuman yang paling popular di Malaysia.
Keunikan rasa dan penyediaannya menjadikan ia pilihan ramai, baik dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun pelancong.
Minuman ini mudah didapati di hampir setiap kedai makan di seluruh negara.
Namun, tahukah anda asal usul dan bagaimana teh tarik diperkenalkan di tanah air kita?
Asal Usul Teh Tarik
Teh Tarik mula diperkenalkan di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu, pendatang India beragama Islam yang mencari rezeki mula menjual makanan dan minuman kepada buruh ladang.
Salah satu minuman yang dijual adalah teh, dikenali sebagai “teh tarik”. Minuman ini popular kerana ia boleh diminum segera tanpa perlu menunggu sejuk.
Pada waktu itu, serbuk teh yang digunakan adalah sisa pemprosesan teh murah, mudah didapati dari ladang-ladang teh besar seperti di Cameron Highlands.
Bagi menambah rasa, susu pekat ditambah ke dalam teh untuk menghasilkan rasa manis dan berkrim. Tidak seperti teh British yang menggunakan susu segar dan gula yang mahal, susu pekat dipilih kerana harganya lebih murah, tahan lama, dan tidak memerlukan penyimpanan dalam peti sejuk.
Teknik Penyediaan Teh Tarik
Nama “teh tarik” berasal daripada teknik unik penyediaannya. Istilah “tarik” merujuk kepada cara menuangkan air teh berulang-alik dari satu bekas ke bekas lain.
Teknik ini bukan sahaja mencampurkan teh dan susu pekat hingga sebati, tetapi juga menyejukkan teh agar boleh diminum segera. Pada mulanya, teknik ini dilakukan untuk memudahkan buruh yang memerlukan minuman cepat.
Namun, penjual menyedari aksi “tarik” ini menarik perhatian pelanggan, lalu mereka mula melakukannya dengan lebih kreatif. Gerai teh tarik kemudiannya menjadi tempat pertemuan masyarakat pelbagai kaum, mengukuhkan budaya mamak yang kini sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Teh Tarik Sebagai Seni
Hari ini, teh tarik bukan sekadar minuman tetapi telah menjadi seni yang memerlukan kemahiran. Walaupun kelihatan mudah, teknik “tarik” memerlukan latihan untuk menghasilkan buih yang sempurna dan rasa yang seimbang.
Teh tarik juga diiktiraf sebagai minuman kebangsaan Malaysia, boleh didapati di mana-mana kedai makan, bukan sekadar di kedai mamak.
Variasi teh tarik seperti teh tarik halia atau penggunaan susu segar juga semakin mendapat tempat di hati peminat.
Menariknya, pertandingan teh tarik sering dianjurkan di peringkat negeri dan kebangsaan. Pertandingan ini menguji kemahiran peserta dalam menghasilkan teh tarik terbaik, menjadikan minuman ini bukan sahaja simbol budaya tetapi juga kebanggaan negara.
Teh tarik terus menjadi kegemaran rakyat Malaysia, melambangkan perpaduan dan kreativiti dalam setiap hirupan.
BACA” Ini 10 info menyayat hati kemalangan ngeri highway Ayer Keroh – Alor Gajah