Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini telah memberi amaran bahawa kemasukan ke hospital akibat Covid-19 meningkat kerana ramai yang tidak hadir temujanji untuk suntikan penggalak.
Memetik laporan Malaysiakini, KJ melalui akaun Twitternya berkata kira-kira 40 peratus orang yang mendapat janji temu tetapi tidak hadir untuk mengambil suntikan penggalak.
“Jika pengambilan suntikan penggalak adalah rendah, terutamanya di kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, bilangan kemasukan ke hospital akan meningkat. Ini sudah pasti.
“Jika anda mendapat janji temu, tolonglah hadir ambil suntikan penggalak.”
Malaysia telah mencapai 75.5 peratus kadar vaksinasi setakat semalam, menjadikan negara kita antara 10 negara teratas yang paling banyak menerima vaksin di dunia.
Keberkesanan vaksin telah berkurang berbanding dengan pelancaran awalnya disebabkan oleh kemunculan varian Delta dan penemuan bahawa imuniti terhadap penyakit tertentu secara semula jadi berkurangan dari semasa ke semasa.
Disebabkan itu banyak negara telah melancarkan suntikan penggalak untuk meningkatkan lagi imuniti terhadap wabak itu, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggesa untuk mengalihkan bekalan vaksin yang terhad untuk negara yang mempunyai kadar vaksin yang rendah.