Ramai sakan ber’Raya’ dengan kereta mewah sewa tapi lain pula kisah dengan pasangan ini. ”
Ini cara kami eratkan hubungan suami isteri walaupun belum dikurniakan anak. Mungkin Allah SWT nak beri rezeki masa kami bersama sebelum rezeki ada anak.”
Demikian menurut Muhammad Jamil Khalid, 33, selepas dia dan isteri, Suziani Mahamad, 34, yang sudah 10 tahun berkahwin,
membonceng motosikal Yamaha Sports dari Johor Bahru, Johor ke Gerik, Perak ketika pulang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya baru-baru ini.
Yamaha Sports itu dibelinya pada Disember tahun lalu pada harga RM1,000.
Dengan kos hanya RM1,000 termasuk penginapan hotel, pasangan suami isteri itu memulakan perjalanan pada petang hari raya pertama untuk pulang ke rumah keluarga Muhammad Jamil di Gerik.
“Perjalanan kami santai. Kami singgah di banyak lokasi termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Perak.
“Kami mengambil masa 12 jam untuk sampai ke rumah keluarga saya dan sepanjang perjalanan, tiga kali rantai motosikal putus,” katanya dihubungi Harian Metro.
Ketika ditanya kenapa memilih untuk membonceng motosikal berbanding menaiki kereta, Muhammad Jamil berkata, dia berbuat sedemikian kerana mahu memenuhi permintaan isterinya enam tahun lalu.
Kisah pasangan itu yang membonceng motosikal mendapat perhatian warga maya selepas Muhammad Jamil memuat naik gambar serta cerita ringkas di Facebooknya.
Kata Muhammad Jamil, sebelum melunaskan misi itu, dia menjalani latihan hampir setahun sebelum yakin untuk pulang ke Perak.
“Ada juga penunggang lain tegur kami, malah tidak kurang yang merakam gambar di Johor. Mungkin dia nampak kami di utara ketika dalam perjalanan pulang ke sini (Johor).
“Paling seronok apabila ada anggota polis mahu bergambar dengan kami,” katanya.
BACA:
‘King’ banyak termenung dan memencilkan diri masa sambut Aidilfitri undang perhatian netizen