Rakyat sedang menangis, harap kerajaan mengerti

Rakyat sedang menangis, harap kerajaan mengerti

Hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan PKP yang sepatutnya tamat esok akan diteruskan dan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan dilanjutkan sehingga kes baru di bawah 4,000 sehari.

Perdana menteri juga berkata akan mengumumkan bantuan kepada semua kumpulan sasar esok atau lusa.

Teruslah sambung kawalan pergerakan jika itu baik untuk rakyat dan negara, tetapi kerajaan perlu mengambil tindakan adil dan segera terhadap lima perkara berikut.

Pertama, percepatkan proses vaksin rakyat. Setakat ini kita telah mempunyai 734,048 jumlah kes dengan 61,395 kes aktif. Kes kematian pula sebanyak 4,944 kes, hampir mencecah lima ribu orang.

Apa yang menyedihkan, bilangan rakyat yang sudah divaksin setakat dua hari lepas hanyalah 6.8 juta orang sahaja. Daripada jumlah itu, 4,924,334 orang (15.1 peratus) telah mendapat dos pertama, dan 1,898,770 lagi (5.8 peratus) lengkap dengan dua dos.

Dengan ada negara lain yang sudah lebih 50 peratus penduduk divaksin, percepatkan proses vaksinasi ini.

Kedua, laksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan adil terhadap semua orang. Jangan lagi ada SOP ‘kayangan’ dan marhaen. Kita tahu ada kes orang ‘kayangan’ melanggar SOP, tetapi proses mendendanya – jika ada – mengambil masa lama. Ada yang perlu arahan peguam negara terlebih dulu. Jika rakyat biasa terus saman dengan jumlah yang tidak konsisten.

Di Britain, menteri kesihatannya Matt Hancock letak jawatan kerana melanggar SOP penjarakan fizikal setelah media menyiarkan gambarnya memeluk seorang wanita. Di Malaysia, sukar untuk hal ini berlaku.

Ketiga, SOP perlu jelas dan standard. Hapuskan semua SOP yang mengelirukan penguat kuasa. Begitu juga dengan dendanya, perlu jelas dan adil.

Keempat, segerakan bantuan kepada rakyat yang terkesan supaya mereka tidak terlalu tertekan sehingga mengambil keputusan di luar kewarasan. Kita tahu kadar orang yang membunuh diri sekarang? Apa lagi faktornya jika tidak kerana tekanan perasaan dan kewangan.

Kelima, jaga perut rakyat. Ini paling penting. Rakyat tidak ke jalanan jika sekadar marah dan kecewa dengan kerajaan. Tetapi sekali perut mereka lapar, inilah yang mendorong kebangkitan mereka.

Kejayaan reformasi Indonesia pada tahun 1998 adalah kerana rakyat kelaparan. Di Tunisia, anak muda bernama Mohammed Bouazizi membakar diri pada pertengahan Disember 2010 kerana perniagaan sayurnya diganggu pihak berkuasa. Kesulitan hidup inilah juga yang merupakan faktor merebaknya kebangkitan Arab sehingga ke Mesir dan Libya.

Akhirnya, pesan saya sederhana: Kerajaan jagalah rakyat kita ini. Mereka menangis sekarang.

PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang penganalisis politik dan pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/580695

JANGAN TERLEPAS:Peniaga dedah bantuan diumum PM ‘indah khabar dari rupa’

CATEGORIES