Rakyat kena tanggung sendiri kos saringan Covid19 – Menteri

Bermula hari ini, rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke Malaysia perlu menanggung sendiri kos ujian saringan Covid-19 setiba mereka di negara ini.

Bagaimanapun, tiga kategori individu akan diberi pengecualian daripada membayar kos ujian itu termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua lagi kategori ialah pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi dan pelajar yang pulang dari luar negara bagi kali pertama sahaja, dan perlu mengemukakan bukti pengajian.

“Bagi tiga kategori ini, jika mereka telah membayar caj ujian saringan sebelum keputusan pengecualian ini dibuat.

“Mereka boleh menuntut semula caj daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Dilaporkan sebelum ini, caj ujian saringan Covid-19 bagi warga Malaysia yang pulang ke negara ini, adalah antara RM30 hingga RM150 manakala warga asing pula dikenakan caj antara RM60 hingga RM250.

Pada sidang akhbarnya itu, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa seramai 65 individu ditahan kerana mengingkari arahan PKPP pada hari ke-19 pelaksanaannya, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 36 individu direman manakala 29 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ialah acara dan pertandingan sukan, aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga dan judi dalam talian,” katanya.

Ismail Sabri berkata, seramai 13,528 anggota Pasukan Pematuhan PKPP membuat 60,427 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP perintah itu.

“Sebanyak 3,891 pasar raya, 5,299 restoran serta 1,940 penjaja, 921 kilang dan 1,670 pasar awam/tani diperiksa.

“Turut diperiksa semalam ialah 3,729 tempat ibadat dan 1,467 tempat riadah,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/532279?