Tahap kepatuhan sebahagian besar rakyat Kelantan terhadap amalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengurangkan risiko penularan COVID-19 semakin terhakis, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Beliau berkata, kebanyakan rakyat di negeri itu seolah-olah alpa dengan pandemik yang sedang melanda yang menyaksikan semua daerah di Kelantan dikategorikan sebagai zon merah.
Malah, keadaan itu memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok sehingga 26 Januari.
“Kalau kita tengok kenapa Kelantan ini cepat merebak (COVID-19) dalam tempoh terdekat… kerana budaya ziarah-menziarahi, kenduri kahwin… masih ada bersalaman dan berpelukan…
“Sepatutnya budaya ini dihentikan (untuk sementara) kita letak tangan di dada (menggantikan bersalaman)… kita tak tahu (siapa yang sudah dijangkiti).
“Nasihat kita… boleh jumpa tapi jangan bersentuhan, patuhi SOP… (malangnya) ada sesetengah rakyat kita bawa mask (pelitup muka) tapi letak dalam poket (tak pakai),” katanya di sini, hari ini. – AA