Rais Yatim persoal tindakan speaker tulis surat kepada mahkamah

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim hari ini secara terbuka mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menulis surat kepada mahkamah untuk mempertimbangkan penangguhan perbicaraan Najib Razak lebih awal untuk membolehkan bekas perdana menteri itu menghadiri sesi parlimen.

Dalam ciapan di Twitter hari ini, Rais mengatakan kejadian itu mungkin akan menjadi contoh (precedent) yang akan membolehkan ahli parlimen lain diberi pengecualian khas dari proses mahkamah yang dijadualkan.

“Mungkin lepas ni mana-mana ahli parlimen tertuduh di mahkamah boleh minta lepasan khas daripada hadir mengikut jadual asal.

“Hebat speaker ini. Apa lebihnya ahli parlimen daripada rakyat biasa? Speaker dah lupa ke Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan?” soal Rais, yang juga merupakan anggota Dewan Negara dan bekas ahli parlimen Jelebu.

Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Rais dan Azhar masing-masing pernah menjadi peguam. Nama Rais juga sebelum ini antara yang dispekulasikan menjadi Speaker Dewan Negara.

Khamis lalu, hakim Collin Lawrence Sequerah telah menolak permintaan peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan pukul 1.30 tengah hari agar ahli parlimen Pekan itu dapat menghadiri parlimen.

Selepas hakim menolak permintaan itu, peguam Najib mengemukakan surat dari Azhar.

Susulan itu, hakim mengarahkan mahkamah berehat dan memaklumkan bahawa perbicaraan diteruskan sehingga jam 3.15 petang, yang mana selepas itu Najib bergegas ke parlimen.

Najib dibicarakan di mahkamah berhubung dana RM2.28 bilion yang didakwa berasal dari 1MDB dan kes pengubahan wang haram.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/535246