Puad kini seolah-olah “lebih Umno daripada Umno” – Takiyuddin

Puad kini seolah-olah “lebih Umno daripada Umno” – Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini menyindir ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Puad Zarkashi selepas beberapa kali “berbalas kenyataan” berhubung desakan supaya parti Melayu itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Takiyuddin berkata, Puad kini seolah-olah “lebih UMNO daripada UMNO”.

“Cikgu Puad (Puad Zarkashi) yang saya kenali awal 80-an, PAS lebih kuat daripada kami masa itu.

“Berserban ‘menapak’ dari (kampung) Kerinchi pergi mengajar di Yayasan Anda. Lepas itu masuk UMNO bersama Nakhaei (Mohd Nakhaie Ahmad, bekas naib presiden PAS) Nasution (Saifuddin Nasution), Suhaimi Said,” katanya di Twitter.

Takiyuddin juga bertanya apakah perancangan masa depan Puad.

Terdahulu, Puad menolak dakwaan PAS bahawa tindakan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin akan mengakibatkan perpecahan lebih dahsyat dalam masyarakat.

Sebaliknya beliau mempersoalkan sama ada PAS sendiri mempunyai sebarang perancangan “konspirasi” apabila “bermain kayu tiga” dengan menyertai Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pada masa sama.

Puad sebelum ini mendakwa kerajaan PN belum menunaikan janji berhubung penangguhan pembayaran balik pinjaman dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat semasa perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat bulan lalu.

Takiyuddin menerusi ciapan di Twitter baru-baru ini menegur Puad supaya mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

Menurutnya, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.

Puad adalah setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia (PMUM) bagi sesi 1981-1982, manakala Takiyuddin merupakan presiden PMUM bagi sesi 1983- 1984.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/27/tarik-sokongan-takiyuddin-sindir-puad-kini-lebih-umno-daripada-umno/