PRU dah nak dekat, MP patut fikir 2 kali kalau nak lompat.Mana-mana Ahli Parlimen yang merancang untuk “melompat” menyokong Perikatan Nasional (PN) patut berfikir dua kali sebelum berbuat demikian, kata ahli akademik Azmi Hassan.
Katanya, Ahli Parlimen yang berpaling tadah mungkin dihukum pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) kerana menentang kehendak pengundi dan parti.
“Terutamanya mereka daripada Umno dan PKR,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, ahli akar umbi Umno berkemungkinan tidak memaafkan Ahli Parlimen yang berganding bahu dengan PN.
“Begitu juga dengan Ahli Parlimen PKR. Mereka mungkin tidak akan diundi lagi kerana menentang kehendak parti,” katanya.
Beliau menasihati Ahli Parlimen supaya mendapatkan mandat pengundi sebelum “melompat”.
“Setelah pengundi bersetuju mereka ‘melompat’, mereka tidak perlu bimbang akan dihukum pada PRU akan datang kerana itulah yang diinginkan oleh pengundi,” katanya.
Mereka yang “melompat” tanpa mendapat mandat daripada pengundi mungkin akan menerima akibat daripada kemarahan pengundi yang berasa tertipu.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Ahli Parlimen yang mempunyai masalah undang-undang dan kewangan mungkin akan mahu menyertai atau menyokong gabungan PN yang memerintah untuk melepaskan diri daripada masalah mereka.
“Atau jika ada pendakwaan politik, mereka mungkin mahu berpindah kem akibat tekanan,” tambahnya.
Tambahan lagi kata Oh, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai masa kira-kira sebulan sebelum Parlimen bersidang pada September dan ada masa bagi Ahli Parlimen untuk mengubah fikiran.
Awal bulan ini, Muhyiddin berkata, undi percaya akan diadakan di Parlimen untuk menguji sokongan majoritinya.
Setakat ini, lapan Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada Muhyiddin sementara terdapat 107 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin, menjadikan jumlahnya 115.
Seorang individu dalam PKR berkata, sehingga kini Ahli Parlimen partinya sedar akan akibatnya jika mereka berpindah kem kerana Muhyiddin tiada majoriti di Dewan Rakyat.
“Mereka tahu ini bukan masanya untuk ‘melompat’. Mereka akan rugi kerana Bersatu mungkin akan dihukum pada PRU akan datang,” katanya.
“Jelas rakyat tidak senang dengan kerajaan kerana gagal membendung jangkitan Covid-19 dan menghidupkan semula ekonomi,” katanya.
“Terlalu banyak kematian. Rakyat sedih, marah dan kecewa.”
Minggu lalu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin mendakwa tiga Ahli Parlimen PKR menyokong Muhyiddin.
Salah seorang daripadanya adalah Xavier Jayakumar (Kuala Langat) yang kini merupakan Ahli Parlimen bebas setelah keluar daripada PKR pada Mac, namun Zahidi tidak menamakan dua yang lain.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/10/fikir-2-kali-sebelum-lompat-ahli-parlimen-diberitahu/