Program SelVAX dapat sambutan, 62,000 syarikat berdaftar

Lebih 62,000 syarikat dengan membabitkan seramai 2.9 juta pekerja telah mendaftar bagi mengikuti Program Vaksin Selangor (SelVAX) Industri yang dilancarkan kerajaan negeri Selangor baru-baru ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, sebanyak dua juta dos vaksin diperuntukkan menerusi SelVAX Industri dan fokus akan diberikan kepada sektor perkilangan serta perkhidmatan.

selvax

Chang Khim berkata, program itu juga akan memberi perhatian kepada syarikat-syarikat berdaftar yang beroperasi sekitar Selangor dan Lembah Klang melibatkan 21 sektor perlu.

“Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada syarikat mempunyai jumlah bilangan pekerja yang ramai di samping perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menggaji kurang 200 pekerja,” katanya ketika sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Turut sama dalam sesi sidang akhbar itu ialah Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail.

Pada Rabu, kerajaan negeri Selangor melancarkan SelVAX dalam usaha melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal di negeri tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya membawa masuk 2.5 juta dos vaksin Sinovac yang akan diberikan sebanyak dua dos secara percuma masing-masing kepada 250,000 penduduk menerusi SelVAX Komuniti, manakala 1 juta pekerja industri termasuk buruh warga asing di bawah SelVAX Industri akan dikenakan bayaran kepada majikan mereka.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, suntikan vaksin melibatkan pekerja industri akan mula diberikan secara konsisten bermula 25 Julai sehingga Oktober depan.

“Sekitar 13,000 pekerja industri sudah menerima suntikan vaksin fasa awal.

“Majikan juga diingatkan agar tidak mengenakan bayaran atau menjual slot janji temu kepada syarikat atau individu lain,” katanya.

Tambahnya, setiap pekerja industri menerusi program itu akan mengambil dua dos suntikan vaksin dengan kos sekitar RM350.

“Kos ini termasuk vaksin dan kos-kos lain. Untuk dua dos ini, ia perlu ditanggung oleh majikan dan mereka tidak dibenar memindahkan kos itu kepada pekerja,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/148219/KHAS/Covid-19/Lebih-62000-syarikat-mendaftar-dengan-SelVAX

BACA JUGA : Panas !!! 5 MP Umno tarik balik sokongan, tumbanglah Muhyiddin

CATEGORIES