Profesional dipecat : Muhyiddin bawa perangai UMNO

Perdana Menteri Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengemukakan usul membuang Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof yang akan dibacakan pada hari pertama sidang dewan parlimen pada 13 Julai 2020 nanti. Sebelum dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif adalah bekas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan.

Hal ini tidak menghairankan kerana telah banyak teknokrat yang berkelayakan dibuang seperti bekas Pengerusi LPPKN (Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam Kesejahteraan Keluarga & Kesihatan Reproduktif Negara), Dato’ Dr. Narimah Awin yang merupakan bekas Penasihat World Health Organisation (WHO) di Asia Tenggara digantikan Ahli Parlimen Parit, Dato’ Nizar Zakaria.

Begitu juga nasib bekas Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang merupakan Bekas Hakim Besar Malaya, digantikan dengan Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Tidak dilupakan Bekas Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Dr Meor Abdul Aziz Osman yang sebelum ini Pengerusi CIDB dibuang dan digantikan dengan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Seorang lagi mangsa ialah bekas Pengerusi PERKESO, Zakri Khir yang memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam sektor insurans dan pengurusan portfolio, adalah rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengurus Negara di Allianz Malaysia Berhad. Kini Pengerusi PERKESO yang baru ialah Ahli Parlimen Sabak Bernam, Dato’ Mohd Fasiah Haji Mohd Fakeh.

Bekas Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Tan Sri Mohd Bakke Salleh mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak sawit, berdasarkan pembabitannya dalam beberapa syarikat perladangan, termasuk presiden dan ketua eksekutif kumpulan Sime Darby digantikan dengan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. Dan ramai lagi teknokrat yang berkelayakan dibuang dan disingkirkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Selagi mana kerajaan Perikatan Nasional tidak disingkirkan selagi itu perangai UMNO tetap Muhyiddin Yasin akan bawa kerana itulah yang telah jadi darah daging dia sejak dulu. Muhyiddin Yasin telah tersepit dengan UMNO/PAS/Team Azmin jadi terpaksa ikut apa kehendak mereka.

Sumber :