Potong gelang pink bukan penamat kesan sakit Covid-19

Potong gelang pink bukan penamat kesan sakit Covid-19. Kalangan bekas pesakit Covid-19 mengadu tentang simptom berpanjangan meskipun selepas sembuh, mengundang persoalan sampai bila mereka menderita kesan jangkitan virus berbahaya itu.

Seorang profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia mengadu beliau mengalami “brain fog”, iaitu lemah daya ingatan atau kesukaran menumpukan perhatian, selepas sembuh.

“Brain fog” dikatakan antara gejala yang ditunjukkan oleh segelintir bekas pesakit Covid-19 selepas sembuh.

Dikenali sebagai sindrom pasca-Covid atau “Long Covid” kerana bekas pesakit masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih, keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh mangsa.

“Sakit perut saya rasakan sehingga empat bulan lamanya,” kata Yang Farina Abd Aziz, seorang mangsa Covid-19, kepada FMT.

Farina tertanya adakah beliau dan mereka sepertinya benar-benar selamat daripada kesan Covid-19.

Kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia masih pada kadar yang tinggi dan tidak menunjukkan trend penurunan termasuklah di Malaysia. Setakat 1 Julai 2021, sebanyak 758,967 kes kumulatif direkodkan dengan kes aktif sebanyak 65,453 di Malaysia.

Sehingga 1 Julai 2021, sebanyak 688,260 pesakit sembuh. Pemotongan gelang simbolik mereka tamat tempoh ‘berkurung’, namun bekas pesakit yang dihubungi FMT mengadu mereka seperti ‘dalam gelap’ mengenai nasib mereka.

“Kita balik hari itu kita rasa tak sihat sangat,” kata seorang lagi mangsa Covid-19, Nyaros Abu Bakar, 53, kepada FMT.

Wanita itu berkata dirinya, suami, dan anaknya “rasa tak sihat” selepas diisytiharkan sembuh.

“Kenapa rasa macam ini ya? Sebab doktor dah lepaskan kita balik, kita dah sihat lah kan?” soal Nyaros, yang susah hati meminta kepastian.

Apa kata KKM?

Kementerian Kesihatan berkata secara amnya data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 mampu sembuh sepenuhnya, namun terdapat segelintir yang terkesan dengan sindrom pasca-Covid.

Menurut kajian klinikal yang dijalankan oleh KKM melibatkan 1,004 pesakit dari kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan, didapati 66% daripada pesakit ini mengalami sindrom itu.

Antara lima gejala yang kerap dialami oleh bekas pesakit adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk, dan kegelisahan.

Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan gejala yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.

Apa kata doktor?

Video tular seorang anak membantu bapanya yang menderita jangkitan Covid-19 mengambil wuduk sebelum diintubasi membawa FMT menghubungi seorang doktor, Nur Sakinah Kamarul Bahrin, 34.

Pengamal perubatan di sebuah klinik di Wangsa Melawati ini berpengalaman menyaring suspek jangkitan Covid-19 di lapangan.

Katanya, selesai tempoh kuarantin bukan bererti anda betul-betul kebal daripada virus, tetapi tidak berpotensi menjangkiti orang lain.

Sakinah mengadu ibunya masih menderita kesan jangkitan virus Covid-19 hampir dua bulan selepas sembuh. Virus itu sudah meragut nyawa bapanya, Kamarul Bahrin Mohamad, 63.

Ibunya kini bergantung pada ubat-ubatan, termasuk steroid, untuk membantu mengurangkan kesan keradangan pada paru-parunya.

“Lebih banyak komobiditi yang anda ada, lebih penting untuk anda ambil vaksin,” katanya kepada FMT, ketika disoal tentang pengambilan vaksin dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi.

“Adakah akan mendapat kesan sampingan yang lebih teruk disebabkan vaksin? Tidak.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/05/dah-potong-gelang-pink-tapi-masih-kelesuan-sukar-tidur-batuk-kegelisahan-keluh-penghidap-long-covid/

Jika Anda Terlepas: Jatuh dalam periuk sup mendidih, chef maut

CATEGORIES