Polis serbu tempat berkumpul warga Acheh. Menjadikan kedai gunting rambut sebagai tempat berkumpul. Itu dilakukan kumpulan warga asing dari Acheh, Indonesia yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di AU3, Taman Keramat di sini.
Lokasi berkenaan diserbu polis selepas menerima maklumat dari penduduk sekitar pada jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penduduk memaklumkan mereka sering melihat beberapa individu keluar masuk sebuah kedai gunting dan kedai runcit bersebelahan dijaga oleh warga Acheh, selepas jam 10 malam sehingga awal pagi.
“Mereka ini (warga asing) sesuka hati melanggar undang-undang yang ditetapkan sedangkan masyarakat lain terutama penduduk tempatan berusaha mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan demi mengekang penularan Covid-19.
“Justeru kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang dilakukan mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohamad Farouk berkata, antara kesalahan dikesan ialah berkumpul dalam kedai gunting sedangkan aktiviti berkenaan dilarang, menjalankan aktiviti gunting rambut, memiliki dan menyembunyikan rokok seludup serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
“Pada mulanya warga Acheh ini cuba menipu polis dengan menyatakan bahawa kedai mereka dalam kawasan Kuala Lumpur, selepas mengetahui polis yang melakukan pemeriksaan adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, iaitu bawah pentadbiran Polis Kontinjen Selangor.
“Bagi kami apa yang penting adalah masyarakat terutamanya dalam kawasan daerah Ampang Jaya, terus bersama-sama mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan jumlah kes Covid-19 dapat dikurangkan sekali gus mematikan pandemik ini,” katanya.
Menurutnya, lelaki tempatan dikompaun sebanyak RM1,500 manakala empat lelaki Acheh ditahan selepas tidak memiliki sebarang dokumen sah.
Beliau turut mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan orang ramai mengenai sebarang aktiviti melanggar SOP ditetapkan.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/728834/tempat-berkumpul-warga-acheh-diserbu
Jika Terlepas: 3 pilihan Muhyiddin : Letak jawatan, bubar atau Mageran