PN Johor bincang hala tuju tanpa libatkan Umno, lantik Pas Naib Pengerusi

Perikatan Nasional (PN) Johor memuktamadkan pembentukan struktur kepemimpinan dan menetapkan beberapa hala tuju.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat yang berlangsung secara dalam talian, hari ini antara lain membincangkan strategi dan pendekatan gabungan itu.

Beliau yang juga Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata ini penting bagi memastikan PN Johor terus konsisten, membela nasib dan kebajikan rakyat, khususnya penduduk di negeri berkenaan.

“Semua pimpinan PN Johor menyatakan harapan besar supaya PN Johor dapat mencetuskan gelombang penyatuan yang kukuh, demi kemaslahatan negara dan ummah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Menerusi mesyuarat berkenaan, katanya, PN Johor sebulat suara melantik Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU negeri, Nasir Hashim, masing-masing sebagai Naib Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor.

Turut dilantik, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Setiausaha PN Johor; Ahmad Al Johari Mohd Yusof (Penolong Setiausaha); Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Bendahari) dan Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua Penerangan).

Selain itu, Azlinda Abd Latif sebagai Ketua Wanita dan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz sebagai Ketua Pemuda PN Johor.-BH