PN digesa lebih matang tangani perbezaan pandangan politik

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa agar kerajaan menghentikan serta-merta segala tindakan intimidasi terhadap Ahli-Ahli Parlimen (MP) pembangkang.

Ia susulan beberapa siri tindakan yang menyaksikan satu-persatu MP PH dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Malah, tegas PH lagi, tindakan-tindakan tersebut adakalanya bersekali laporan-laporan media yang menimbulkan persepsi negatif terhadap individu-individu yang disiasat.

“Majlis Setiausaha berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik.

“Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini.

“Majlis Setiausaha menggesa agar tindakan-tindakan intimidasi ini dihentikan serta-merta,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara pemimpin AMANAH diwakili Khalid Samad; Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR); dan Anthony Loke dari DAP.

Dalam pada itu, PH menasihatkan agar Perikatan Nasional (PN) lebih matang dan terbuka dalam menangani pendirian politik yang berbeza daripada yang dipegang gabungan itu sendiri.

Tindakan-tindakan intimidasi seperti itu katanya, hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia.

“Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka,” ujarnya.

Pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan soal siasat terhadap beberapa Ahli Parlimen PH di bawah Akta Hasutan setelah mereka didakwa mengkritik dan mempersoalkan polisi kerajaan secara terbuka.

Setakat ini, tiga Ahli Parlimen telah dipanggil termasuklah yang terbaharu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung satu temubualnya bersama agensi berita antarabangsa Al Jazeera, yang dikatakan berbaur hasutan pada 6 Mac lalu.

Selain itu, bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh juga dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu ciapan Twitternya yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Manakala pada 20 Mei lalu, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung satu klip video pendek beliau mempersoalkan mengenai persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu sebagai “tidak berfaedah” dan “mengarut.”

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/elak-negara-terpalit-tanggapan-negatif-ph-gesa-kerajaan-hentikan-intimidasi/