PM perlu perincikan tawaran jemput pembangkang sertai MPN

PM

PM perlu perincikan tawaran jemput pembangkang sertai MPN.Ahli Parlimen pembangkang berharap pelawaan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah ikhlas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang meragui tawaran itu, mendedahkan pengalaman terdahulu mereka tidak diberikan data berkaitan yang diminta.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tawaran itu berbaloi dipertimbangkan, tetapi Perdana Menteri perlu menjelaskan syarat terhadap tawaran itu.

“Ini tidak patut menjadi latihan PR. Ini perlu dilakukan berdasarkan perbincangan konkrit dan bermakna antara kerajaan serta pembangkang.”

Saifuddin berkata, pengalaman pembangkang sebelum ini ketika menganggotai sebuah jawatankuasa kerajaan menunjukkan ia sekadar bersifat kosmetik, “seperti latihan PR untuk menunjukkan mereka cuba menjangkau dan menerima pandangan pembangkang”.

“Saya membuat permintaan khas untuk data harian Covid-19 dan mereka gagal berikan walaupun selepas enam atau tujuh bulan.

“Sukar untuk pembangkang memainkan peranan dalam jawatankuasa itu. Untuk menjadi efektif, kita perlu mempunyai akses kepada maklumat dan taklimat, tetapi itu tidak berlaku.”

Pengalaman lampau

PM

Saifuddin, Loke Siew Fook dari DAP dan Dzulkefly Ahmad dari Amanah adalah tiga Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai sebuah jawatankuasa bebas khas ditubuhkan Januari lalu untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pandemik Covid-19 dan darurat.

Bulan lalu, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin menubuhkan MPN untuk memantau Pelan Pemulihan Negara bagi negara keluar daripada pandemik Covid-19. Ia dianggotai pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan dan pakar kesihatan, dengan Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang dipelawa menghantar wakil mereka.

Hari ini, Ismail mempelawa Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Santiago berkata, pelawaan Ismail itu patut dipertimbangkan pembangkang, tetapi Perdana Menteri perlu membuat tawaran secara rasmi terlebih dahulu, selain menjelaskan sasaran jawatankuasa itu dan syarat di sebalik tawarannya.

Titah Agong kepada parti

Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli berkata, Ismail perlu ingat titah Agong kepada pemimpin parti awal minggu ini “yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah”.

“Adakah beliau (Ismail) fikir (tawaran) ini mencerminkan hasrat Agong?” soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman dari Warisan berkata, Ismail tidak patut membuat tawaran demi meredakan ketegangan politik.

Ketua Pemuda Warisan itu mempersoalkan jika penyertaan Ahli Parlimen pembangkang dalam jawatankuasa bebas untuk menasihati Agong mengenai Covid-19 dan darurat mempunyai sebarang impak.

“Sudah pasti saya sambut baik, terutama ucapan beliau meminta semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

”Cuma saya ingin nasihatkan jangan ulangi kesilapan yang dibuat Muhyiddin. Semua pihak termasuk pembangkang harus dilibatkan kerana kita sekarang sedang berperang, yang mati itu bukan penyokong PH, PN atau Warisan, tetapi rakyat Malaysia.”

Masa untuk mengorak langkah

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said menyifatkan ucapan Ismail sebagai permulaan baik untuk menurunkan suhu dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang semula bulan depan.

“Saya berdoa semua parti akan bertenang dan bertindak untuk keluar daripada krisis politik demi kepentingan negara,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Mersing, Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu gembira kerana Ismail menyuarakan kesediaan untuk meneruskan usaha kerajaan terdahulu.

“Ia adalah petanda baik beliau dilihat berhasrat meneruskan usaha kerajaan PN untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian,” kata bekas menteri pembangunan luar bandar itu yang menganggotai Kabinet Muhyiddin.

“Covid-19 merosakkan ekonomi, sekarang masanya untuk bina semula, sama seperti nenek moyang kita membina semula negara selepas rusuhan 13 Mei.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/22/jelaskan-syarat-tawaran-anda-ahli-parlimen-beritahu-ismail/

BACA: Tragedi Gunung Jerai : Sukarelawan terkejut jumpa tin putih berisi wang tunai

COMMENTS

Wordpress (0)