PM ke-9 : Hari ini jadi penentu, tumpuan di Istana Negara

Teka-teki siapa Perdana Menteri ke-9 mungkin berakhir hari ini.

Ini kerana Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu 114 sokongan, sekali gus bakal mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menerusi satu tangkap layar pengesahan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tular di aplikasi WhatsApp, kesemua 114 ahli Dewan Rakyat itu akan dipanggil ke Istana Negara hari ini.

Katanya, bermula pukul 10 pagi, Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertolak ke Istana Negara dari World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) dengan menaiki bas.

Beliau mengingatkan hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara.

Dengan itu, kata Ahmad Maslan, ini bererti Ismail Sabri dengan izin Allah ialah calon Perdana Menteri yang menang.

Bagi penjadualan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap pada pukul 10 pagi disusuli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada pukul 11 pagi.

Pada pukul 2 petang adalah sesi menghadap bagi UMNO dan BN, manakala yang terakhir ialah Pas pada pukul 4 petang.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mahu Perdana Menteri baharu ditentukan keabsahan di Dewan Rakyat dengan segera.

Baginda menitahkan calon Perdana Menteri kesembilan, setelah dilantik nanti, mengemukakan usul undi percaya secepat mungkin untuk mengabsahkan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu pada Jumaat untuk membincangkan isu-isu semasa, dipercayai menyentuh pembentukan kerajaan baharu.

Perkembangan politik negara ini menyusul peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Isnin disebabkan hilang kepercayaan majoriti berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum itu.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/tekateki-siapa-perdana-menteri-ke9-mungkin-berakhir-hari-ini-314884

Baca Juga :Usaha Amanah pertahan PH Plus buahkan hasil memberangsangkan

Artikel ini disiarkan pada 19/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)