PKR Kelantan ikrar taat setia dan sokongan kepada presiden parti

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan hari ini menyatakan ikrar taat setia mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim agar terus menerajui parti itu.

Pengakuan taat setia itu diketuai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Datuk Sri Mohamad Suparadi Md Noor, yang juga Ketua Cabang Tanah Merah, serta 10 ketua cabang yang lain dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa mereka menyokong penuh tanpa berbelah bahagi kepada Presiden PKR itu untuk terus menjadi nakhoda utama menerajui parti.

Mereka juga menyatakan komitmen bahawa sedaya upaya akan membantu Anwar menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia nanti.

BERNAMA