PKPD : Penduduk dakwa bekalan makanan terputus. “Sekarang baru masuk hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tapi keperluan barang makanan asas bagi penduduk sudah terputus,” dakwa penduduk Taman Desaria, di sini, Ashari Jani, 45.
Taman Desaria Nilai antara beberapa lokasi di seluruh negara yang dikenakan PKPD mulai 5 hingga 18 Julai ini.
Ashari berkata, sebahagian besar daripada kira-kira 1,300 penduduk taman berkenaan dikesan terputus bekalan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan barangan basah termasuk ikan dan sayur-sayuran serta lampin pakai buang dan susu anak.
Katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) awal yang ditetapkan, ketua keluarga dibenarkan keluar rumah untuk membeli barangan keperluan makanan asas.
“Tetapi setakat ini sebaliknya, malah kedai runcit yang terdapat di kawasan taman ini pun sudah kehabisan stok barangan dan tidak mampu menampung keperluan penduduk.
“Ada kalangan penduduk taman yang sudah kehabisan duit untuk beli barangan keperluan.
“Malah, bagi mereka yang ada duit juga tidak boleh keluar ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengambil duit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, walaupun pihak jawatankuasa surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ada menyediakan bantuan bekalan makanan asas atau gerobok kasih, namun ia hanya bertahan dalam tempoh singkat.
Ashari berkata, sebelum PKPD dijalankan, kebanyakannya warga asing yang berada dalam taman berkenaan sudah mengambil kira-kira 80 peratus daripada barangan keperluan makanan disediakan ahli jawatankuasa surau dan NGO terbabit.
Katanya, baki kira-kira 20 peratus lagi tidak mampu menampung keperluan penduduk tempatan lain.
“Justeru, kami memohon kerjasama pihak berkuasa supaya mengambil tindakan dan membantu penduduk yang amat memerlukan bekalan makanan terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
“Kami juga berharap pihak berkaitan tidak mengeluarkan SOP yang berubah-ubah sehingga menyukar dan mengelirukan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Bukan Islam negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J Arul Kumar berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai masalah dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, bantuan bekalan makanan akan segera dihantar kepada penduduk di taman berkenaan.
“Saya bersama jawatankuasa keselamatan dan pengurusan bencana daerah akan turun ke lokasi secepat mungkin bersama barangan keperluan harian untuk penduduk di situ,” katanya.
Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/727521/penduduk-pkpd-taman-desaria-dakwa-terputus-bekalan-makanan