Pijak anak dan acu pisau seperti video tular, bapa dipenjara 22 tahun

Pijak anak dan acu pisau seperti video tular, bapa dipenjara 22 tahun

Seorang buruh ladang warga Indonesia dipenjara 22 tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan mendera dua anak kandungnya bulan lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud memerintahkan Nasir Basir, 26, menjalani hukuman penjara 11 tahun bagi setiap tuduhan, lapor Bernama.

Beliau mengarahkan semua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan mulai hari ini.

Nasir didakwa mendedahkan anak perempuannya berusia lima tahun dan anak lelaki berusia tiga tahun dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal serta kesan gangguan emosi.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah perumahan pekerja Ladang Giram, Divisyen Ulu Balung, Jalan Tawau-Kunak di sini pada 3 petang, 13 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, Nasir yang tidak diwakili peguam berkata ketika kejadian dia tertekan akibat masalah rumah tangga, selain perlu menjaga dua anaknya sendiri sejak isterinya melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kershanathan Pathmanathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat.

Baru-baru ini, sebuah video memaparkan seorang bapa mendera dua anaknya dengan memijak mereka beberapa kali dan mengugut dengan senjata tajam, menjadi tular.

Kejadian tersebut sengaja dirakam tertuduh menerusi dua rakaman video, berdurasi 26 minit dan 16 saat, menggunakan telefon bimbit.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/27/buruh-dera-dua-anak-dalam-video-tular-dipenjara-22-tahun/

COMMENTS