PH Kelantan teruskan agenda reformasi, tawar alternatif lebih baik dari PAS

Sejujurnya ambo pernah terfikir bahawa tiada masa depan untuk parti lain mentadbir Kelantan melainkan Pas,

Bukan kerana Pas itu sebuah parti yang terbaik, tetapi kerana tradisi dan kebiasaan rakyat Kelantan yang sinonim dengan Pas,

Air tiada, sampah kotor, longkang tersumbat, jalan berlubang, pentadbiran negeri bercelaru, kewangan gagal, kemajuan tiada perkembangan, dan 1001 masalah lagi melanda, tapi setiap kali PRU, tetap sahaja Pas mempertahankan penguasaannya,

Untuk mengenali negeri, lihatlah penduduknya, mungkin ini hanyalah generalisasi, tapi apa lagi indikator yang kita boleh dapati di sekeliling kita?

Cuba perhatikan sikap dan reaksi majoriti penduduk Kelantan di dalam laman kumpulan media sosial seperti IRDK dan sebagainya, tak perlulah ambo ulas panjang, kalian sendiri dah boleh faham,

Lihat juga perangai dan sikap anak perantau kita setiap kali balik ke Kelantan, dari LPT exit Kuala Terengganu dan CSR exit Gua Musang sudah terserlah sikap orang kita, bukan nak mengata tapi nak sebut benda nyata,

Tidak sedikit usaha Umno BN sebelum ini untuk mengambil alih Kelantan, juga usaha terbaru dari Pakatan Harapan dengan pelbagai tawaran dan rangka kerja yang dibentangkan sebagai manifesto kepada Kelantan, namun hasilnya tetap saja sama, Pas sokmo sokmo,

Mungkin selepas kalian baca coretan ini maka kalian terfikir, kalau begitu let them be, loh gi lah, ikut demo lah, toksoh caro lah, baso nok laye doh aku eh, tapi, bagaimana pula dengan mungkin segolongan atau segelintir rakyat Kelantan yang terbit impian di hati mereka untuk melihat perubahan berlaku di Kelantan? Apakah sekadar tergumam di bibir mulut tatkala menikmati secawan milo tunggeng di kedai ppati setiap pagi? Bukankah hak dan kebebasan bersuara dan berorganisasi jelas dijamin berlandaskan prinsip demokrasi dalam Perlembagaan Persekutuan?

Maka inilah mungkin dikategorikan sebagai thoifah atau sekumpulan manusia dikalangan kita yang tampil memperkenalkan wadah pembaharuan sebagai tawaran kepada pilihan sedia ada,

Ya, agak sukar untuk kita menjangka masa depan bagi sekumpulan manusia seperti diatas untuk mencipta sesuatu di sesebuah tempat seperti Kelantan ini, terutama dalam masa seperti ini,

Bahasa mudahnya, entah apalah masa depan PH di Kelantan ini, tambahan pula kita sendiri seolah kabur dengan hala tuju dan perancangan PH di Kelantan, tidaklah boleh kita salahkan PH sepenuhnya atas jerebu tebal dan kabus pekat yang menyelubungi penglihatan PH dalam mengharungi perjuangan di tempat seperti ini, entah siapalah mampu bertahan untuk meneruskan perjuangan di tempat seperti Kelantan ini, dengan sikap “tebal dan pekat” penyokong parti pemerintahnya, suasana dan keadaan setempat yang tidak kondusif untuk sebarang usaha pembaharuan dan pelbagai halangan yang lain,

Apa lagi pilihan yang ada, selain dari terus memperkenalkan dan menawarkan agenda perubahan dan berfungsi sebagai penyemak dan pengimbang kepada pemerintah semasa, mudah mudahan usaha PH untuk membawa agenda reformasi dan islah di Kelantan ini tidaklah sia sia dan dikira sebagai salah satu dari amal dakwah yang berpahala di sisi Allah, sebagaimana mafhum hadis yang berbunyi, agama itu nasihat, nasihat untuk Allah, RasulNya dan seluruh kaum muslimin.

Ariff BashiruddinRusli
Jawatan, bertaraf negeri tapi dirahsiakan.

Sumber: