PH desak yuran pengajian Universiti dikurangkan masa ini. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menurunkan yuran pengajian universiti dalam tempoh berdepan wabak Covid-19.
Dalam kenyataan bersama hari ini JKPPH berkata, bagi pihak universiti awam (UA) ia dapat dilakukan dengan menurunkan yuran pengajian secara langsung, sesuai dengan permintaan pelajar.
Bagi universiti swasta, kerajaan boleh memberi subsidi yuran pengajian untuk pelajar daripada keluarga B40 dan M40 yang memungkinkan pihak IPTS membuat penurunan yuran ke atas mereka.
Dalam usaha membantu universiti swasta, JKPPH mencadangkan kerajaan memberi pengecualian cukai berdasarkan jumlah biasiswa dan penurunan yuran pengajian yang universiti berikan.
“Kerajaan boleh memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran khas sementara dalam tempoh krisis ekonomi dan wabak.
“Keadaan getir ini memerlukan pendekatan yang tidak konvensional dalam memastikan proses pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi terus lestari kendatipun wabak yang melanda,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tampin Hasan Bahrom, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, dan Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/09/ph-desak-kerajaan-kurangkan-yuran-pengajian-universiti-ketika-pandemik/
klau Anda Terlepas: ‘Dr Shah’ tak pernah cucuk vaksin kepada sesiapa