PH, Bersatu dan Warisan keluar kenyataan bersama tuntut sidang penuh parlimen

Muhyiddin

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan mengambil maklum keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan dengan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020. Keputusan ini bermakna pada perkiraan kerajaan wabak Covid-19 semakin terkawal dan beberapa aktiviti boleh dijalankan dengan syarat ia menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi maksud perjalanan sidang Parlimen, SOP ini antara lain termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka, serta melakukan saringan  Covid-19 bagi Ahli-Ahli Parlimen.

Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti

sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan.

Persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan Ahli Ahli Jemaah Menteri melaksana agenda legislatif Kementerian masing-masing.

Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu.

 

YB Tun Dr Mahathir Mohamad
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

YB DS Shafie Apdal
Parti Warisan Sabah (WARISAN)

YB DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)