PH beri autonomi kepada parti komponen Sabah dan Sarawak

PH

PH beri autonomi kepada parti komponen Sabah dan Sarawak.Parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak tidak diwajibkan mengguna logo rasmi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti pembangkang yang bergabung dengan PH, termasuk parti komponen baharu PH iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) boleh menggunakan logo mereka sendiri.

“Keputusan tentang logo tidak merangkumi Sabah dan Sarawak sebab ada autonomi (dalam membuat keputusan).

“Perkara ini akan diputuskan oleh parti Sabah dan Sarawak sendiri (sama ada menggunakan logo parti masing-masing),” katanya ketika webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO malam tadi.

PH
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula berpendapat, sebaiknya parti politik yang sehaluan bersepakat menggunakan satu logo sahaja pada PRU15.

Menurutnya, penggunaan satu logo yang sama terbukti berkesan dari bertanding dalam kelompok berasingan yang mungkin juga akan mengelirukan pengundi.

“Pembangkang mestilah ada kesepakatan dan ini juga telah dipersetujui dalam deklarasi yang dilakukan di Port Dickson sebelum ini. Bukan PH sahaja tetapi semua pembangkang. Kalau berpecah ia hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.

Webinar berkenaan turut disertai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau dengan tontonan lebih 1,000 pengguna Facebook.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/04/parti-pembangkang-sabah-sarawak-di-bawah-ph-boleh-guna-logo-sendiri/

BACA: KKM akan bincang dengan KPM untuk wajibkan guru ambil vaksin