Petugas keletihan antara faktor suntik picagari kosong

Petugas keletihan antara faktor suntik picagari kosong

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan beberapa kes petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang didakwa gagal memberi suntikan adalah disebabkan oleh faktor keletihan.

Walaupun bilangan kes yang dikenal pasti setakat ini hanya tiga tetapi kementerian itu memandang serius kejadian seumpama itu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menasihatkan petugas di PPV supaya memaklumkan kepada pihak berkenaan sekiranya mereka keletihan.

petugas

“Itu antara kesilapan yang kita lakukan apabila kita terlalu letih. Kita ada staf dan kita boleh mobilize. Ya, memang kita stres dengan masalah sumber manusia tetapi KKM sentiasa berfikir dan mobilisasi di mana tempat yang kurang sibuk pindah ke tempat yang sibuk. Orang berpengalaman pindah ke tempat yang perlukan orang berpengalaman umpamanya.

“Perkara ini amat serius bagi saya. Kalau perkara itu berlaku disebabkan keletihan, dia patut rehat dan kalau perkara itu disengajakan, ini satu perbuatan yang sangat jahat. Tindakan sepatutnya perlu diambil apabila benda itu terbukti,” katanya.

Beliau ditemui ketika lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Sungai Siput (U), Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini pada Rabu.

Menurutnya, ketika kerajaan mahu mempercepatkan proses vaksinasi bagi mencapai imuniti berkelompok, soal kualiti juga mesti diberi perhatian serius.

Katanya, petugas PPV juga bertanggungjawab untuk memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan di samping mengelakkan wujud kluster dalam kalangan mereka.

Sejak kebelakangan ini, tular mengenai dakwaan petugas PPV melakukan beberapa kesilapan seperti menggunakan picagari kosong dan tidak menekan picagari.

Sehubungan itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu yang didakwa disuntik dengan picagari kosong di PPV di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Pada Selasa, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan menafikan dakwaan seorang lelaki kononnya disuntik menggunakan picagari kosong ketika mendapatkan suntikan di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) pada Sabtu lepas.

Katanya, dakwaan itu hanya salah faham dan individu berkenaan telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/keletihan-petugas-mungkin-punca-ada-yang-disuntik-picagari-kosong-309541

BACA JUGA : Panas !!! Sabah pula bising isu bekalan vaksin yang lembab