PERSAUDARAAN KEWARGANEGARAAN

Arab adalah bangsa seperti Melayu, Cina atau India. Lebihnya Arab ialah Nabi kita daripada bangsa itu.

Al-Quran turun dalam bahasa Arab selaras bangsa Nabi. Janggal jadinya jika nabi berbangsa Arab, kitab yang dibawanya berbahasa lain.

Namun begitu semata-mata Arab tidak membawa sesiapa kemana-mana. Tidak hina menjadi Melayu atau Cina di hadapan Arab.

Arab sendiri bukanlah contoh dalam semua hal. Dunia Arab tidaklah lebih baik daripada dunia bangsa lain. Perkara yang bangsa lain tak boleh saingi Arab ialah kefasihan baca al-Quran.

Antara gurauan Bang Mat Sabu dalam ceramahnya dulu-dulu ialah, bukan saja ahli syurga, ahli neraka juga bertutur dalam bahasa Arab.

Jika bangsa yang Nabi lahir daripada bangsa mereka pun tidak langsung menjadi mulia, apalah sangat bangsa lain selain Arab yang tiada nabi itu.

Justeru, hidup bersama secara aman mesti menjadi agenda semua bangsa. Semua bangsa mesti menerima bangsa lain sebagai rakan senegara, negara Malaysia.

Status warganegara mengikat sesiapa saja sebagai saudara sewarganegara. Ikatan persaudaraan ini jika dipupuk pasti menguntungkan negara biarpun berbeza bangsa.

Jika kita memilih untuk berbalah, terlalu banyak puncanya yang boleh kita cari. Kita boleh berbalah atas apa saja perkara termasuk berebut identiti karipap berinti ubi, milik siapakah asalnya karipap itu.

Kita boleh berbalah kerana berbeza agama. Jika sama agama, kita boleh berbalah kerana berbeza mazhab. Jika sama mazhab, kita boleh berbalah kerana berbeza anutan politik.

Jika sama anutan politik, kita boleh berbalah kerana latarbelakang pengajian profesional atau agama. Jika sama latarbelakang pengajian, kita berbalah balik tentang mazhab.

Akhirnya perbalahan kita berputar-putar ratusan tahun atas perkara yang sama. Dalam teori teologi, kitaran sebegitu disebut tasalsul. Kitaran yang tiada penghujung.

Perpaduan rakyat boleh dibina atas asas kewarganegaraan. Atau secara lebih spesifik, ruh dan akal cintakan negara.

Semua orang, semua penganut mana-mana agama dan semua darah keturunan mesti akur kepada suatu asas iaitu kewarganegaraan.

Jadikan kewarganegaraan sebagai pelabuhan bertolak semua pertimbangan.

Sementara hak dan kewajipan warganegara menjadi neraca penilai dalam hubungan antara sesama warga biar apa pun bangsa dan agama.

Dalam konteks politik dinasti Islam, kewarganegaraan ditentukan oleh agama. Lantaran itu tercetuslah istilah zimmi dan harbi.

Dalam konteks kini, neraca kewarganegaraan bukan agama tetapi undang-undang semasa yang terpakai.

Justeru, selagi status kewarganegaraan itu berasaskan kesahan undang-undang, tiada mana-mana pihak, sama ada atas perkiraan agama atau bangsa boleh menafikan hak-hak kewarganegaraan pihak lain.

Tindakan mengungkit status mana-mana bangsa sebagai penduduk asal atau pendatang hanya menjadi perbahasan akademik apabila status terkininya adalah warganegara.

Berbalah dalam hal-hal sebegitu samalah seperti berbalah mana dulu antara ayam dan telor. Paling penting, status terkini ialah, kita punya ayam dan punya telor.