Pada 23 September 2019 yang lepas ketika Menteri Wilayah pada ketika itu, YB Khalid Samad mencadangkan Pelan Pembangunan kampung Baru, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa mengemukakan cadangan agar kerajaan membayar mengikut harga pasaran dan bukannya harga yang disifatkannya menindas penduduk serta warsinya.
Kini Tan Sri Annuar Musa telah dilantik seabgai Menteri Wilayah yang baru. Ramai yang menantikan tindakan beliau terhadap cadangannya dahulu itu.
Berita penuh mengenai cadangan beliau adalah seperti yang disiarkan portal MalaysiaGazette.com :
KUALA LUMPUR – UMNO mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak mempolitikkan isu Kampung Bharu.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kes itu akan selesai sekiranya kerajaan membayar mengikut harga pasaran bukan harga yang disifatkan menindas penduduk serta pewarisnya.
“Tak payah nak politik Kampung Bharu. Bayar ikut harga pasaran, selesai,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang harga yang ditawarkan kerajaan PH iaitu RM850 kaki persegi bagi tanah Kampung Bharu lebih baik dari yang ditawarkan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, Khalid perlu tahu jumlah yang ditawarkan BN ketika itu tahun berapa dan sekarang sudah masuk tahun ke berapa.
“Isunya berapa peratuskan harga ditawarkan berbanding harga tanah bersebelahan (sekitar KLCC)? Kurang daripada itu, kita faham tapi takkan 30 peratus sahaja dari harga tanah KLCC yang menjangkau RM3,000 kali persegi,” katanya.
Mengenai dakwaan Khalid yang BN kini tidak lagi menjadi kerajaan sebab itu boleh menawarkan berapa sahaja harga, Annuar membalas balik dengan pertanyaan, berapa ukuran kepadatan yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hendak diberikan nanti.
Begitu juga katanya, berapa plot nisbah dan apa jenis penggunaan tanahnya.
“Beli dengan 25 peratus harga pasaran, selepas itu beri ukuran kepadatan dan plot nisbah yang tinggi. Jual balik pula pada harga pasaran. Bijakkan,” katanya sinis.
Berhubung kenyataan Khalid untuk tidak menghalang jika ada dalam kalangan pemimpin UMNO mahu membeli tanah Kampung Bharu dengan harga RM3,000 kaki persegi, Annuar menjelaskan, undang-undang memberi hak kepada pemilik mendapat harga pasaran dan kampung itu adalah kawasan yang sudah dibangunkan.
“Harga RM850 kaki persegi bukan nilainya tanah di Kampung Bharu. Semua prasarana sudah tersedia, kenapa kerajaan PH masih hendak diskriminasi? Yang beli tanah itu bukan pihak swasta tetapi kerajaan.
Beliau seterusnya mengumpamakan Khalid seperti ‘berkokok sebelum bertelur’ dan berkata, pemilik Kampung Bharu sepatutnya menentukan sama ada mereka bersetuju atau sebaliknya.
“Pemilik bukan desperado atau lahap,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2019/09/23/kes-kampung-bharu-selesai-jika-kerajaan-bayar-harga-pasaran/