Perlu tambah tanah di sektor pertanian untuk tingkat sumber makanan – Sim

Kerajaan disaran menambah keluasan tanah khusus bagi membolehkan bidang agro pertanian berkembang pesat dan mampu menghasilkan sumber makanan untuk menampung keperluan rakyat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata pada masa ini, Malaysia hanya memiliki lapan juta hektar tanah pertanian yang telah dibahagikan kepada beberapa kelompok iaitu untuk sektor tanaman kelapa sawit, getah dan lain-lain.

“Daripada lapan juta hektar tanah pertanian itu, enam juta hektar telah diberikan untuk tanaman kelapa sawit, 1.2 juta hektar tanah lagi diberikan kepada getah dan bakinya adalah untuk agrofood,” katanya kepada pemberita selepas majlis sidang media berkenaan Urban Farming (Pertanian Bandar) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bayan Baru di sini hari ini.

“Untuk makanan, contohnya bagi tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan seperti ternakan ayam, itik, telur dan sebagainya semua ini kurang dari satu juta hektar tanah,” tambahnya.

Menurutnya dalam keseluruhan kawasan tanaman pertanian itu hanya 12 peratus diperuntukkan bagi tanaman yang menghasilkan makanan.

Sim berkata ia amat berbeza dengan Thailand di mana negara itu memberikan fokus yang utama kepada sektor agro makanan.

“Tanah mereka diberi secara meluas untuk tanam sayuran-sayuran buah-buahan dan ternakan, jadi  mereka mempunyai banyak makanan, ia tidak adil kerana kita diberi tanah kecil, yang kita ada hanya 12 peratus untuk pertanian dan ia tidak mencukupi untuk menampung atau memberi makanan kepada 32 juta penduduk Malaysia,” katanya.

Justeru beliau menggesa agar kerajaan memberikan penekanan terhadap perkara itu dan menambah keluasan tanah terutamanya untuk sektor agro makanan.

BERNAMA