Perikatan Nasional Lahir Dari Pergolakan Emosi Yang Tak Terkawal

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin,  di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke 8.

Apa jua percanggahan pendapat mengenai perlantikan Tan Sri, saya ketepikan sementara sebagai menjunjung titah DYMM Yang Di Pertuan Agung.

Walau bagaimanapun, naluri saya tetap berkata bahawa gabungan Perikatan Nasional hanya suatu bayangan kerana ianya tertubuh berdasarkan emosi semata-mata dan bukannya atas sebab-sebab yang objektif dan mulia.

Sememangnya Perikatan Nasional sebagai suatu gabungan tidak mempunyai sebarang struktur atau perjanjian asas. Sebagai contoh, sewaktu Mesyuarat MPT Khas pada 23.02.2020 dan 24.02.2020, ada beberapa soalan dibentang seperti apa kesannya penggabungan Negeri Negeri di tadbir Bersatu?

Nah, lihat natijahnya apabila tiada struktur perundangan asas. Kini semua kerajaan negeri jatuh kepada BN, dan Menteri Besar dilantik dari kalangan wakil BN.

Sampai hati Presiden Bersatu merestui penggabungan Bersatu dan UMNO, yang dianggap tindakan yang menggadai maruah bangsa seterusnya menyesatkan lagi bangsa Melayu!

Seeloknya YAB Tan Sri ingat kembali dan akur dengan keputusan di mesyuarat khas MPT pada 23.02.2020, dimana MPT dengan sebulat suara bersetuju dengan usul untuk keluar daripada PH untuk bergabung bersama Muafakat Nasional seterusnya menyerahkan kepada YAB Tun Dr Mahathir bagi menilai dan mempertimbangkan dengan teliti usul tersebut.

Saya tidak menafikan bahawa unjuran suatu perikatan gergasi khusus untuk bangsa Melayu mungkin dapat menyelesaikan kemelut politik bangsa bagi jangka waktu terdekat ini.

Namun begitu, lahirnya PN hasil dari pergolakan emosi yang tak terkawal, lambat launnya akan menimbulkan perasaan syak wasangka di kalangan ahlinya. Kerana di sebalik tabir, landasan politik melayu sebenarnya berpecah kepada pelbagai ideologi dan falsafah yang kadangkala bercanggah.

Hakikatnya, walau kita sama-sama Islam, dan sama-sama Melayu, tetapi keadaan ekonomi kita terlalu jauh bezanya di kalangan Bangsa Melayu ini sendiri. Dan inilah sebenarnya yang membawa kepada konflik maruah Melayu – perbezaan darjat dan kekayaan.

Seharusnya YAB Tan Sri mengenang kembali bahawa ahli parlimen Bersatu pada asalnya terdiri daripada 13 orang ahli penaja yang bersatu hati dan nekad mengembalikan maruah bangsa tanpa mengira perbezaan antara mereka.

Tiba masanya kita ke pangkal jalan.

Bersatu, Beramanah dan Bermaruah.

Tariq Ismail bin Mustafa
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Ahli no 0051
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

COMMENTS

Wordpress (0)