Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu diheret ke dalam kancah pergolakan yang sedang berlaku dalam PKR kerana beliau sibuk dengan perkara-perkara lain.
“Saya tidak ada masa untuk memikirkan perkara ini. Saya ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan, termasuk menjawab soalan-soalan anda,” katanya semasa ditanya media sama ada masalah dalam PKR menjadi satu beban kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi telefon pintar Respons Rakyat (RR 2.0) dan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.
Apabila ditanya sama ada masalah yang sedang melanda PKR menjadi beban kepada PH, Dr Mahathir berkata : “Itu terpulang kepada anda untuk membuat penilaian, terima kasih.”
Ditanya sama ada pergolakan dalam PKR akan melambatkan penyerahan kuasa perdana menteri, beliau berkata: “Itu akan berlaku pada masa depan. Kita akan selesaikannya apabila ia berlaku nanti pada masa depan”.
Pergolakan dalam PKR semakin ketara apabila 23 ahli Jawatankuasa Pusat PKR membidas presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mencadangkan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali, supaya meletak jawatan sekiranya terbukti terlibat dalam skandal seks yang sedang tular.
BERNAMA