Perceraian Umno dan Bersatu tak dapat nak elak

Perceraian Umno dan Bersatu tak dapat nak elak

Perceraian UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dapat dielakkan kerana kedua-dua parti itu tidak mampu bersama untuk selama-lamanya.

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, hal tersebut disebabkan pasaran untuk UMNO dan Bersatu adalah sama iaitu Melayu-Muslim yang lebih cenderung nasionalisme, tanpa pembahagian wilayah seperti yang wujud antara UMNO dan PBB di Sarawak.

“Daripada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sampai Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu memang berharap dapat pecahkan dan serapkan UMNO.

“UMNO pula harap dapat menyerap semula Bersatu sepertimana Semangat 46 diserap semula. Selain itu, kedua-dua parti inginkan jawatan Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang hampir pasti menjelmakan persaingan tiga penjuru di kebanyakan kawasan di Semenanjung dan Sabah bersama Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

“Kalau UMNO dan Bersatu dapat bersetuju dengan pembahagian kerusi, mengapa mereka tidak kekal di bawah panji perpaduan Melayu? Yang menjadi penumpuan ialah kerusi-kerusi yang dimenangi dalam 2018 oleh wakil rakyat yang keluar UMNO dan masuk Bersatu. UMNO inginkan kembali kerusi-kerusi ini tetapi Bersatu tidak mungkin menyerahkannya,” katanya.

Katanya lagi, Pas pula dilihat akan menyokong Bersatu di peringkat ini bagi mengelakkan UMNO menjadi terlalu kuat dan akhirnya mampu mengancam parti Islam itu.

“Akan tetapi, kebarangkalian besar Pas akan berdamai dengan UMNO pada saat-saat terakhir sebelum penamaan juga boleh terjadi. Ia memanfaatkan Pas untuk berkecuali di antara UMNO dan Bersatu jika UMNO setuju untuk menyokong atau tidak mengacau Pas di kawasan tandingannya.

Tambah Chin Huat, kebarangkalian tinggi yang mungkin berlaku juga ialah PH, UMNO dan Pas tiga parti itu akan membahagi-bahagikan 165 kerusi di Semenanjung tanpa mana-mana pihak memenangi lebih daripada 83 kerusi atau separuhnya.

“Jika PH yang paling banyak, maka kerajaan baharu akan jadi PH-UMNO dengan sekutu Malaysia Timur.

“Sebaliknya, jika UMNO yang menang paling banyak, maka UMNO boleh memilih antara kerajaan campuran UMNO-PH atau UMNO-Pas, kedua-dua dengan sekutu Sabah dan Sarawak,” katanya.
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126929/BERITA/Politik/UMNO-Bersatu-tidak-mampu-bersama-untuk-selamanya