Perak pelopor politik norma baharu, signal kepada Muhyiddin? – Puad

Perak pelopor politik norma baharu, signal kepada Muhyiddin? – Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik selagi kerajaan tidak memperoleh sokongan majoriti.

Dalam hantaran di Facebook hari ini Puad berkata, ia sebahagian norma baharu politik untuk tidak lagi tegar dan berasaskan gabungan politik, dan kerjasama antara mana-mana parti politik boleh berlaku.

Beliau mengulas perkembangan di Perak, yang mana ADUN PKR dan DAP menyokong usul tidak percaya dibentangkan Umno terhadap bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu.

“Walaupun Umno ada pendirian, iaitu ‘No PKR-No DAP’, usul tersebut tetap disokong. Maksudnya pendirian politik bukan mudah menghalang dinamika politik norma baharu.

“Justeru Umno tidak boleh apologatik? Takut dituduh mabuk kuasa, cium mulut dengan musuh dan gila jawatan. Usul Umno itu wajar kerana hanya mahu tukar menteri besar yang gagal.

“Perak telah mempelopori politik norma baharu. Apakah itu signal kepada Muhyiddin? Tidak mustahil ia berlaku di pusat,” katanya.

Puad berkata, sokongan majoriti yang lemah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermakna ia tidak boleh mentadbir secara berkesan dan beliau mempersoalkan sama ada Umno harus kekal terpalit dengan kemelut itu.

“Pokoknya kita mesti keluar dari kepompong lama dan memulakan politik norma baharu.

“Tiada musuh dan kawan politik yang kekal selagi kerajaan majoriti 2/3 tidak wujud. Bersedialah dengan politik norma baharu,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/07/tiada-kawan-musuh-kekal-selagi-kerajaan-tiada-majoriti-kata-puad/