Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid hari ini melahirkan rasa kesal dengan sikap sebahagian pengguna media sosial yang suka mengambil berita secara sekerat-sekerat kemudian disensasikan. Beliau mengulas satu posting yang dibuat oleh pengguna media sosial kepada dirinya berhubung kenyataan beliau sewaktu menjawab persoalan wartawan semalam berkaitan isu salib di rumah flat di Pulau Pinang.
Beliau menegaskan masih menunggu laporan rasmi berhubung apa yang berlaku dan tidak akan menghukum sesiapa selagi tidak mendapat laporan yang rasmi. Menurut beliau, umat Islam diajar untuk berlaku adil dalam kehidupan dan beliau berpegang kepada prinsip tersebut.
Dalam satu laporan berita, pemaju projek perumahan terbabit telah tampil menafikan dakwaan orang ramai bahawa mereka dengan sengaja membuat simbol salib pada bangunan terbabit. Memetik laporan The Malaysian Insight :
CAHAYA lampu di bangunan apartmen Grace Residence di Bukit Jelutong, Pulau Pinang tidak dibuat untuk menunjukkan lambang salib atau mempunyai unsur keagamaan.
Jurucakap pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd berkata, lampu di bangunan apartmen berkenaan, yang hampir 90% siap, sedang diuji.
“Kemungkinan ketika foto-foto itu diambil, lampu-lampu itu telah menunjukkan salib. Tetapi lampu-lampu itu tidak bermaksud untuk menunjukkan salib.
“Kami ada lampu-lampu di tingkat teratas dan di tingkat parkir kereta juga, tetapi foto-foto itu tidak menunjukkan dua baris tertinggi dan terbawah dinyalakan di kawasan-kawasan umum.
“Jadi, yang ditunjukkan adalah lampu-lampu yang membentuk salib,” dia memberitahu The Malaysian Insight.
Jika semua lampu di tingkat teratas dan tingkat parkir kereta dinyalakan, huruf Cina “wang” (王), yang bererti “raja” atau “diraja” akan kelihatan.
Ianya juga adalah nama keluarga Cina yang biasa ditemui, juga disebut sebagai “ong” dalam dialek seperti Hokkien, bahasa yang digunakan secara meluas di Pulau Pinang.
“Itulah yang biasanya akan ditunjukkan oleh lampu-lampu itu pada waktu malam,” katanya.
Huruf Cina “wang”: