Pensyarah perundangan ini cerita kaitan sidang parlimen dan darurat

Pensyarah perundangan ini cerita kaitan sidang parlimen dan darurat

MUTAKHIR ini, semakin banyak gesaan dibuat oleh pelbagai pihak supaya Parlimen dibenarkan untuk bersidang semula walaupun didalam ketika negara sedang menghadapi darurat. Saranan-saranan ini yang pada awalnya datang daripada blok pembangkang, turut semakin mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh parti-parti kompenan blok kerajaan sejak kebelakangan ini.

Tuntutan ini juga turut pernah mendapat perhatian serantau apabila sekumpulan 90 orang mantan dan anggota Parlimen ASEAN diatas nama sebuah organisasi yang dinamakan Ahli Parlimen ASEAN untuk hak asasi manusia (APHR) juga menyuarakan gesaan yang sama.

Gesaan-gesaan ini telah dibawa menghadap oleh Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk perhatian Seri Paduka Baginda beberapa hari yang lalu. Berturutan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dibenarkan bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

Kepentingan Institusi Parlimen didalam Demokrasi

Secara asasnya, punca kuasa perundangan di negara kita disandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah berkenaan dengan pengiktirafan terhadap sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia dimana fungsi, komposisi dan bidangkuasanya tertakluk dibawah Perlembagaan.

Oleh yang demikian, peranan apa-apa komponen pentadbiran didalam negara boleh dihadkan sekiranya Perlembagaan Persekutuan membenarkannya, termasuklah melalui proklamasi darurat sepertimana yang disebut dibawah Perkara 150 Perlembagaan tersebut.

Institusi Parlimen boleh diibaratkan sebagai ‘jantung’ didalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Ini kerana, konsep demokrasi amat menekankan partisipasi rakyat didalam urusan pentadbiran negara. Partisipasi rakyat ini diterjemahkan melalui pemilihan penggubal undang-undang menerusi pilihanraya umum. Dalam pada masa yang sama, kumpulan atau parti politik yang menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat akan diberi mandat untuk membentuk kerajaan. Oleh itu, secara mudahnya, demokrasi berparlimen adalah satu sistem yang mendukung pemerintahan rakyat.

Di Malaysia, “Parlimen” ialah sebuah badan legislatif di peringkat persekutuan. Institusi Parlimen pula boleh dipecahkan kepada tiga komponen yang lebih kecil, iaitu Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara, dan Dewan Rakyat.

Selain daripada bertindak sebagai badan penggubal undang-undang, Parlimen juga adalah sebuah badan yang amat penting didalam mendokong doktrin pemisahan kuasa di negara kita. Menurut doktrin ini, kuasa dan peranan badan-badan utama disesebuah negara iaitu; Kehakiman, Eksekutif, dan Legislatif haruslah dipisahkan bagi mengelakkan satu monopoli kuasa oleh mana-mana pihak, yang kemudiannya boleh membawa kepada pemerintahan bersifat autokratik atau kediktatoran.

Justeru itu, Parlimen juga berfungsi untuk ‘menyemak dan mengimbangi’ peranan badan-badan yang lain bagi memastikan segala tindakan atau keputusan yang dibuat adalah berdasarkan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan.

Ruang Lingkup Kuasa Darurat

Darurat secara umum memberi maksud kepada ancaman yang nyata terhadap keselamatan, ekonomi, ataupun ketenteraman awam. Skop ancaman-ancaman ini boleh diberi interpretasi yang lebih meluas dan boleh meliputi permasalahan-permasalahan khusus seperti isu kesihatan awam, bencana alam, mahupun masalah politik dalaman yang mampu mengganggu gugat kestabilan negara. Menurut Perkara 150(1), Darurat hanya boleh diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong.

Penolakan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menerima nasihat Perdana Menteri supaya mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020 lalu telah mewujudkan satu duluan (precedent) baharu bahawa baginda tidak tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri didalam soal ini.

Menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan, pengisytiharan darurat oleh Yang Dipertuan Agong boleh membawa kepada suatu penggubalan undang-undang khas, yang dikenali sebagai Ordinan Darurat. Ordinan ini boleh digubal oleh Yang Di-Pertuan Agong, ataupun Parlimen – sekiranya kedua-dua majlis parlimen masih bersidang.

Secara amnya, Ordinan Darurat tersebut berperanan untuk mengawasi aspek-aspek dan skop pemerintahan darurat yang diisytiharkan. Lebih menarik, walaupun Ordinan Darurat dianggap sebagai sebuah Akta Parlimen, namun Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 150(6A) mengizinkan Ordinan tersebut untuk tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan dibawah Perlembagaan Persekutuan, kecuali mengenai beberapa perkara yang digariskan perlembagaan sepertimana yang disebutkan dibawah Perkara 150(6A) dan juga Perkara 151.

Melalui sekatan-sekatan yang dijalankan dan kebolehan untuk menggantung perlembagaan, pengisytiharan darurat secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kuasa khas yang lebih kepada pemerintah, yakni lebih daripada norma kebiasaannya. Kuasa-kuasa khas ini termasuklah yang berkaitan dengan peraturan dan urusan-urusan perjalanan Parlimen.

Parlimen institusi terbaik laksana semak imbang

Sidang Parlimen dibawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu ) 2021

Berturutan dengan dengan proklamasi darurat baru-baru ini, satu Ordinan khas telah diwartakan bagi mengawasi perjalanan darurat di Malaysia. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 secara jelas mengatakan bahawa Proklamasi Darurat dilakukan berikutan ancaman wabak Penyakit Covid-19. Bagi menangani ancaman wabak penyakit ini, beberapa sekatan telah dikenakan termasuklah terhadap Pilihanraya Parlimen , Pilihanraya Negeri dan juga aspek perjalanan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Pembatasan terhadap peranan Parlimen dibawah Ordinan Darurat ini sudah tentu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Hal ini kerana proses semak dan imbang yang diutarakan sebelum ini tidak dapat dijalankan seperti biasa dan tergendala.

Secara amnya aspek perjalanan Parlimen ketika darurat disentuh secara khusus dbawah Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Di bawah Seksyen 14(1)(a), ianya secara jelas menyatakan bahawa peruntukan-peruntukan berkenaan dengan memanggil, membubarkan, menggantung atau memberhentikan sidang Parlimen didalam Perlembagaan tidak akan mempunyai kesan disepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan.

Walaupun yang demikian, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membatalkan arahan-arahan berkenaan pada mana-mana tarikh yang difikirkan bersesuaian oleh Baginda sepertimana yang digariskan dibawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan tersebut.

Oleh itu, kuasa mutlak untuk mengadakan semula sidang parlimen terletak pada budibicara Baginda Yang Dipertuan Agong, dan bukanlah pada mana-mana pihak yang lain. Namun secara tertibnya, Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri haruslah berperanan sebagai penasihat Baginda berkenaan dengan perihal ini.

Penulis juga berpendapat bahawa, frasa “sesuatu tarikh yang difikirkan bersesuaian oleh Yang Dipertuan Agong” dibawah Seksyen tersebut menunjukkan bahawa baginda boleh memanggil semula sidang parlimen walaupun didalam tempoh darurat sekiranya difikirkan wajar oleh Baginda. Oleh itu secara mudahnya, Parlimen boleh dibenarkan bersidang walaupun pada ketika tempoh darurat sekiranya diperkenankan oleh Baginda Yang Dipertuan Agong.

Parlimen boleh diteruskan tanpa nasihat PM – Ku Li

Kesimpulan

Keperihatinan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong didalam mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan menerusi sebuah kenyataan yang diterbitkan oleh pihak Istana Negara baru-baru ini adalah satu isyarat jelas bahawa Baginda mengambil pendekatan untuk tidak berpihak dan bertindak menurut bidang kuasa yang diberikan dibawah Perlembagaan Persekutuan. Penulis juga secara peribadi berpendapat adalah amat wajar dan tepat supaya Parlimen dipanggil untuk bersidang semula oleh kerana banyak isu-isu rakyat harus dibentang dan diutarakan di Parlimen sesegera mungkin.

Namun yang demikian penulis juga berharap bahawa sekiranya Parlimen dipanggil untuk bersidang semula, ahli-ahli parlimen haruslah menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk berperanan sebagai medium ‘semak dan imbang’, dan bukanlah menjadikan Parlimen hanya sebagai pentas politik semata-mata. Kestabilan politik, dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak amatlah dituntut didalam usaha untuk memerangi ancaman wabak ini.

* Dr. Hafidz Hakimi Haron adalah Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka. Pengkhususan kepakaran beliau adalah di dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan, Undang-Undang Hak Asasi Manusia, Undang-Undang Media dan juga Undang-Undang Siber.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/sidang-parlimen-dan-darurat-satu-tinjauan-perundangan-284873