Peniaga kedai emas pun sudah gadai barang kemas

Peniaga kedai emas pun sudah gadai barang kemas. Kalangan peniaga di Pasar Payang 2 di sini merayu agar kerajaan dapat melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini bagi membantu ekonomi mereka yang semakin tenat.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, kelonggaran berkenaan dapat membolehkan lebih 70 peniaga kedai emas dan batik di pasar pelancongan terkenal itu mencari rezeki selepas hilang punca pendapatan sejak sebulan lalu.

Katanya, langkah itu wajar memandangkan jumlah kes harian Covid-19 di Terengganu kini menurun ke dua digit dalam tempoh minggu lalu, sekali gus tiada halangan untuk pembukaan penuh sektor ekonomi.

“Setiap hari ahli-ahli bertanya bilakah mereka dapat berniaga semula kerana wang simpanan sudah berkurangan.

“Orang ramai menganggap kami peniaga emas dan batik mempunyai duit yang banyak, malah saya sudah dua kali menggadai barang kemas di kedai untuk membayar hutang pembekal di samping sewa serta belanja harian keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zakaria berkata, selain kebenaran beroperasi, aktiviti rentas daerah juga perlu dipertimbangkan bagi merancakkan ekonomi peniaga di Pasar Payang 2 yang semakin terdesak.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/kami-peniaga-kedai-emas-pun-sudah-gadai-barang-kemas/

Jika Anda terlepas: [Video] Bengang kes asyik tinggi, netizen buang 3 negeri dari peta semenanjung