Peniaga kecil akan jadi fokus MPN, kata Muhyiddin

Peniaga kecil akan jadi fokus MPN, kata Muhyiddin.MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) akan memberi input kepada kerajaan untuk terus membantu golongan peniaga kecil yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MPN pertama yang dijangka akan diadakan pada minggu depan.

Sebagai Pengerusi MPN, katanya, pihaknya bukan saja melihat keperluan syarikat besar untuk bertahan, malah sektor informal iaitu perniagaan kecil-kecilan.

“Setakat ini kerajaan dah bantu banyak… RM530 bilion dalam lapan pakej rangsangan tapi pastinya ini tidak dapat menampung perbelanjaan mereka setiap hari jika tidak boleh berkerja atau berniaga.

“Penting untuk kita beri satu cara yang membuka seluas-luasnya ruang untuk golongan seperti ini (peniaga kecil) agar dapat memulakan kehidupan baru supaya dapat berada dalam keadaan lebih baik

peniaga kecil

“Sebab itu, dalam MPN yang saya akan pengerusikan dalam mesyuarat pertama yang akan ditetapkan tarikhnya, kita akan bincang semua perkara terutama aspek sosialiti, keseluruhan masyarakat untuk mempercepatkan proses pemulihan negara,” katanya selepas meninjau kawasan peniaga kecil di Setapak Jaya hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut memberi jaminan MPN akan mengambil langkah sewajarnya dalam tempoh setahun akan datang supaya negara kembali pulih dari segi ekonomi, sosial pendidikan, kebudayaan dan lain-lain.

Mengenai lawatannya itu, beliau mengakui gembira melihat semakin ramai golongan peniaga kecil kembali berniaga, sekali gus memberi petanda proses pemulihan ekonomi negara sudah bermula.

“Saya rasa sukacita kerana saya tanya tentang pendapatan mereka tadi ada yang dapat RM200 hingga RM300 sehari dan ada yang dapat RM4,000 sebulan.

“Mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran. Jadi cara yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini amat baik.

“Zaman susah ni jangan kenakan apa-apa bayaran… kerajaan rugi sedikit tapi DBKL banyak simpanan, sebab itu benarkan peniaga berniaga tanpa lesen, namun saya dimaklumkan perkara itu sampai akhir tahun sahaja.

“Jadi, mereka minta saya sampaikan kepada menteri dan DBKL supaya pertimbangkan bagi melanjutkan (tempoh) atau diberi kebenaran secara berlesen, kerana (ada segelintir) yang sekarang masih tiada lesen,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://malaysiapost.com.my/2021/09/06/mpn-fokus-bantu-peniaga-kecil-muhyiddin/

BACA: Panas !!! Zahid hantar surat minta Speaker Dewan Rakyat berundur – Sumber