Peniaga hampir putus asa dengan perniagaan, lain pula jadi bila Zizan masuk campur

Oleh NADIA HARON

Pemilik Ricos Pizza Cafe meluahkan rasa sebak apabila perniagaannya kembali mendapat sambutan luar biasa

selepas pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak, mengunjungi restoran tersebut baru-baru ini.

Mengimbau detik sukar, pemilik cafe itu berkongsi bahawa selama dua tahun menjalankan perniagaan, dia tidak pernah menerima jumlah pelanggan yang ramai.

Malah, beberapa kali terlintas di fikiran untuk menutup perniagaannya kerana tidak mampu menanggung hutang serta kos operasi.

Namun begitu, dia tetap bertahan walaupun simpanannya semakin susut, dengan keyakinan bahawa usaha tanpa putus asa akan mendapat keberkatan daripada Allah.

Peniaga hampir putus asa dengan perniagaan, lain pula jadi bila Zizan masuk campur

Kehadiran Zizan Razak

Dalam usaha memulihkan perniagaan, pemilik cafe itu mengambil inisiatif memperkenalkan menu baharu seperti steak dan tomahawk dengan harga yang mampu milik tetapi berkualiti tinggi.

Tanpa disangka, menu tersebut menarik perhatian Zizan Razak, yang datang bersama keluarganya untuk mencuba hidangan tersebut selepas melihat ulasan di TikTok.

“Kami tidak jemput Zizan untuk buat ulasan makanan, tetapi dia datang sendiri kerana tertarik dengan video di TikTok. Dengan izin Allah, selepas kami muat naik video Zizan di TikTok, ia menjadi viral,” katanya.

Menurutnya, sejak video itu tular, pelanggan mula berpusu-pusu ke kafenya sehingga dia dan keluarganya tidak menang tangan untuk menguruskan operasi.

“Kami jadi terkejut dengan sambutan ini. Kapasiti pekerja dan keadaan kedai kami tidak mencukupi untuk menangani jumlah pelanggan yang ramai. Terpaksa ajak anak-anak kecil kami untuk membantu di kaunter dan dalam restoran,” luahnya.

Mohon Maaf dan Janji Penambahbaikan

Walaupun gembira dengan sambutan luar biasa, pemilik cafe itu mengakui terdapat kekurangan dari segi perkhidmatan yang disediakan, menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati.

“Saya minta maaf kepada semua pelanggan atas kelemahan perkhidmatan kami. Kami sedang berusaha untuk memperbaiki sistem pengurusan supaya semua yang datang berpuas hati,” tambahnya.

Dia juga melahirkan rasa syukur kepada semua yang menyokong perniagaannya dan berharap agar cafe tersebut terus maju dan berkembang.

“Doakan kami terus berjaya di dunia dan akhirat. Terima kasih atas sokongan semua. Kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya lagi.

BACA: Cikgu ditahan atas tuduhan rogol 9 pelajar dan mengaku biseksual