Peniaga burger depan rumah di Kelantan terkejut kena kompaun RM50,000

Peniaga burger depan rumah di Kelantan terkejut kena kompaun RM50,000

Seorang peniaga burger, yang menjalankan perniagaannya di hadapan rumah melahirkan rasa terkejut apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis gara-gara beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam tadi dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggan di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.

Katanya, pihak polis kemudiannya bertindak mengeluarkan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ketika itu tiada seorang pelanggan pun di gerai, saya sedang siapkan pesanan pelanggan iaitu golongan pekerja kilang. Biasanya pesanan itu saya akan hantar (COD) di kilang mereka bekerja.

“Saya terkejut kerana dikompaun dengan nilai setinggi itu. Dengan keadaan PKP dan tempoh niaga yang begitu terhad ini.

“Memang saya belum tutup kedai, tapi dah tak niaga ketika itu. Cuma siapkan tempahan untuk dihantar. Meja pun saya tak buka,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Tambah Faisal, anggota polis berkenaan memberitahu ada pihak lain yang membuat laporan menyata kedainya beroperasi melebih waktu ditetapkan.

Malah katanya, kompaun ke atasnya itu merupakan kes berulang selepas kali pertana ketika PKP sebelum ini dan dikompaun RM1,000.

“Sejak PKP tahun lalu saya cuma berniaga di rumah dan ini merupakan satu-satunya mata pencarian saya.

“Saya merayu agar kompaun ini dipertimbangkan semula, jumlah ini memang terlalu jauh daripada kemampuan saya,” katanya.

Sebagai rekod operasi premis kedai makan atau restoran di Kelantan dihadkan sehingga jam 10 malam sahaja sepanjang tempoh PKP yang sedang dikuatkuasakan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abdul Rahim Daud berkata, inidvidu tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung kompaun berkenaan.

Katanya, kompaun yang dinyatakan itu jumpah maksimun denda bagi kesalahan berniaga melebihi masa

“Pada buku saman ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum. Bagi kesalahan individu akan ditulis jumlah maksimum RM10, 000.

“Beliau boleh buat rayuan kepada KKM,” katanya ketika dihubungi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/572247