Pengusaha restoran di negeri fasa 1 terkejut dengan pengumuman kelonggaran

Pengusaha

Pengusaha restoran di negeri fasa 1 terkejut dengan pengumuman kelonggaran. Pengusaha restoran di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak yakin untuk membuka semula premis mereka kepada pelanggan kerana ketiadaan SOP yang jelas dan angka jangkitan Covid-19 harian yang tinggi.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Wong Teu Hoon terkejut dengan peraturan yang longgar itu dengan berkata, berada di bawah Fasa 1 PPN bermakna masih belum selamat untuk membuka premis.

“(Keputusan) ini terlalu mendadak dan ramai orang meminta pendapat kami juga. Kami hanya boleh beritahu mereka, pertimbang untuk buka setelah lengkap vaksinasi,” kata Wong.

Katanya, keputusan ini seolah-olah dibuat terburu-buru tanpa mengambil kira situasi Covid-19 semasa, di mana varian Delta sedang menular dan rekod 22,948 kes dicatatkan semalam.

“Saya sangat bimbang (mengenai pembukaan semula) kerana kes sangat tinggi. Kita dapat lihat sudah ramai yang terima vaksin di Kuala Lumpur dan Selangor, namun kes tidak turun,” katanya.

Pengasas The Fire Grill di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Shankar Santhiram berkata, ramai pengusaha restoran kecewa dengan pengumuman saat akhir kerajaan yang dibuat pada 5 petang semalam.

“Semua orang kongsi pengumuman itu, tetapi bukankah kita harus ikut protokol tertentu? Apa protokolnya?”

Buat masa ini katanya, pengusaha restoran ingin tahu berapa ramai pelanggan dibenarkan dalam premis dan berapa ramai pelanggan yang lengkap vaksinasi boleh duduk semeja.

Pengusaha

“Kami telah habiskan ribuan ringgit untuk membayar cukai, pastikan peraturan dipatuhi dan membayar lesen, sewa dan kakitangan kami,” katanya.

“Bukankah kami patut diberi lebih maklumat agar kami tidak lagi perlu bergelut setelah setahun berlalu?”

Walaupun beberapa pelanggan bertanya sama ada mereka boleh makan dalam premis, Shankar berkata, restorannya akan menunda pembukaan semula kerana sebilangan kakitangannya masih menunggu janji temu dos kedua vaksin.

“Saya tidak terkejut jika ramai pengusaha di Lembah Klang tidak membuka restoran esok (hari ini) kerana kami tidak bersedia. Ini adalah satu lagi rancangan yang tidak diteliti sebaiknya.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata, negara tidak bersedia untuk membenarkan pelanggan restoran makan di premis di negeri-negeri bawah Fasa 1 PPN, walaupun hanya bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi.

“Peraturan ini hanya bagi masyarakat umum. Bagaimana pula dengan pekerja restoran dan penghantar makanan? Pelanggan perlu pertimbang sama ada sesebuah restoran telah disanitasi dengan betul,” katanya kepada FMT.

Tumpuan patut diberi kepada usaha melengkapkan vaksinasi bagi sekurang-kurangnya 80% populasi dewasa terlebih dahulu, katanya sambil menambah, ini patut dibuat sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Sasaran kita sebelum ini adalah kurang daripada 4,000 (jangkitan). Kini kita lihat lima kali ganda jumlah itu, tetapi boleh buka semula (premis),” katanya.

“Mesti ada keseimbangan antara bersikap adil terhadap perniagaan dan sistem kesihatan.”

Perdana Menteri Sementara Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan, individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan makan di premis restoran di kawasan-kawasan di bawah Fasa 1 PPN mulai hari ini.

Pemilik premis diarahkan untuk memastikan pelanggan menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 digital mereka. Kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah boleh menemani ibu bapa mereka tetapi mesti mematuhi SOP yang ketat.

Muhyiddin berkata, perincian lebih lanjut akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/20/terlalu-berisiko-terima-pelanggan-makan-di-premis-kata-pengusaha-restoran-lembah-klang/

BACA : Benarkah kem Zahid dan kem Ismail Sabri sudah berdamai?

Artikel ini disiarkan pada 20/08/2021

COMMENTS