Pengasas produk kecantikan ‘penipu’

Seorang peniaga wanita di Pendang kerugian RM30,000 selepas diperdaya seorang suspek yang menawarkan satu peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan cara memberikan suntikan modal bagi perniagaan produk kesihatan dan kosmetik.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian bermula pada 16 April lalu apabila mangsa melaburkan wang dan dijanjikan pulangkan wang modal serta keuntungan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, selepas memasukkan wang, suspek memberi pelbagai alasan dan mangsa mengesyaki ditipu.

Pengasas produk kecantikan 'penipu'

SUSPEK. FOTO Ihsan PDRM

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pendang pada 15 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Susulan daripada itu, seorang wanita yang juga pengasas produk kecantikan berusia 30 tahun ditahan petang kelmarin di hadapan kedainya di Pendang untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar.

Kamarul Zaman berkata, setakat ini hanya dua laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya lebih ramai yang terbabit dalam pelaburan oleh wanita berkenaan namun tidak berani membuat laporan polis kerana wanita terbabit menjanjikan pulangan wang mereka semula.

“Wanita itu kini direman empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang pelaburan yang menawarkan pulangan yang lumayan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Beliau meminta mereka yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan menawarkan skim pelaburan boleh tampil membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan dilakukan.

“Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID di aplikasi Playstore bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Maklumat dan modus operandi terkini kes jenayah komersial juga boleh didapati melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/, https://www.facebook.com/JSJKPDRM/ dan https://m.facebook.com/jsjkked/,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/757372/lesap-rm30000-ditipu-pengasas-produk-kecantikan

BACA JUGA : JAKIM sedia beri sokongan emosi kepada Sajat

COMMENTS

Wordpress (0)