Penganalisis ramal Pas-Umno akan “bercerai” dalam waktu terdekat

Penganalisis ramal Pas-Umno akan “bercerai” dalam waktu terdekat

Gabungan PAS dan Umno dua tahun lalu adalah “asmara” politik yang menyejukkan hati ramai orang Melayu yang tidak senang dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah ketika itu.

Kerjasama kedua-dua parti tersebut di bawah panji Muafakat Nasional melahirkan idea untuk menyatukan orang Melayu di bawah kerajaan yang diterajui orang Melayu.

Tetapi “asmara” itu mempunyai bagasi di sebaliknya.

Sejak 1950-an, kedua-dua parti itu bersaing untuk memenangi hati kelompok pengundi yang sama, dengan sebuah parti mendakwa ia “lebih Islam” berbanding yang satu lagi.

Persaingan semakin sengit apabila Umno berjaya “menggoda” tiga ADUN PAS di Terengganu supaya berpaling tadah pada 1961, menyebabkan PAS hilang kuasa ke atas kerajaan negeri.

Semenjak itu, beberapa Ahli Parlimen PAS melompat ke Umno, dan kedua-dua parti itu terus mencurigai antara satu sama lain, kata penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.

Namun, mereka memutuskan untuk “membuang yang keruh dan mengambil yang jernih” dengan terbentuknya Muafakat Nasional pada September 2019, idea yang sangat disokong oleh pemimpin dan akar umbi kedua-dua parti.

“Ia dilihat sebagai permulaan yang baharu,” kata Kamarul Zaman kepada FMT.

Namun hubungan itu kembali keruh apabila PAS mula mesra dengan Perikatan Nasional (PN) yang kini memerintah.

“Isu semasanya adalah Umno tidak suka PAS menyertai PN. Umno mahu PAS bersama mereka, kerana Umno tidak sebulu dengan PPBM,” kata beliau.

Kamarul Zaman berkata, sekiranya PAS terpaksa membuat pilihan yang sukar antara Umno dan PPBM, parti Islam itu akan memilih PPBM “walaupun Umno lebih kuat, tetapi ia masih dilihat sebagai ‘parti sombong’ dan dipimpin oleh inidividu yang berdepan tuduhan di mahkamah”.

PAS juga menjangkakan perselisihan akan berlaku dalam Umno dengan beberapa Ahli Parlimen parti itu serta pemimpin dan ahli akar umbinya melompat ke PN.

Awang Azman Awang Pawi.
Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi berkata, PAS terhutang budi dengan PPBM kerana memberi mereka kedudukan dalam kerajaan.

“Sukar (bagi mereka) untuk menarik diri daripada PN dan Umno dilihat terlalu mengkritik PPBM,” kata beliau.

“Atas sebab itu, PAS selesa dengan parti yang memerintah. Bagaimanapun, situasi ini mungkin akan berubah setelah Parlimen dibubarkan.

“Jika PAS tidak lagi terikat dengan jawatan Kabinet dan GLC (syarikat milik kerajaan) seperti sekarang, mereka mungkin terbuka hati untuk bekerjasama dengan Umno ketika itu,” tambah beliau.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/29/mimpi-indah-umno-pas-bakal-terlerai/