Penganalisis dakwa sukar untuk Warisan halang wakil rakyatnya melompat

Penganalisis dakwa sukar untuk Warisan halang wakil rakyatnya melompat

Penganalisis berpendapat, agak sukar bagi mana-mana parti politik termasuk Warisan untuk menghalang wakil rakyat mereka daripada berpaling tadah selagi undang-undang anti-lompat parti tidak dilaksanakan.

Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, perjanjian atau ikrar kesetiaan yang dibuat setiap calon Warisan sebelum pilihan raya negeri (PRN) lalu hanya bersifat dalaman dan sesama parti saja.

“Di Malaysia, tidak ada undang-undang anti-lompat parti kerana ia bercanggah dengan Fasal (2)(c) Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sabah ketika di bawah pemerintahan PBS (Parti Bersatu Sabah) suatu ketika dulu adalah negeri terawal memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti tetapi tidak boleh diguna pakai kerana bercanggah dengan perlembagaan yang saya katakan tadi.

“Sehubungan itu, perjanjian antara calon dengan parti adalah sesama mereka (Warisan) dan saya lihat ia bawah ‘tort’ saja, sama ada perjanjian dan sumpah itu mempunyai keabsahan hanya dari segi perundangan yang akan menjadi penentu,” kata beliau kepada FMT.

Lee berkata, dalam perlembagaan Sabah juga tiada klausa yang menyatakan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu perlu meletak jawatan sekiranya mereka melompat parti.

“Kalau ada, sudah pasti kesemua ADUN Upko yang keluar daripada BN (Barisan Nasional) untuk membentuk kerajaan negeri bersama Warisan dulu juga telah letak jawatan.

“Saya memang sangat anti dengan lompat-lompat (parti) ini dan sesekali akan cuba menghalalkan cara sedemikian,” kata beliau.

Lee turut berpendapat, kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal semalam yang menyatakan tindakan susulan akan diambil terhadap ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir hanya satu bentuk ugutan atau amaran kepada mana-mana wakil rakyat Warisan yang mahu berpaling tadah.

“Ia seperti pepatah Cina ‘potong ayam untuk takutkan monyet’ tetapi hakikatnya pada hari ini, monyet pun sudah pandai potong ayam,” kata beliau.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, tindakan susulan Warisan terhadap Hassan perlu diperincikan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Warisan itu hanya dilihat bersifat teladan.

”Perjanjian dan ikrar kesetiaan yang dibuat hanya akan menjadi teladan apabila ia dikuatkuasakan secara sukarela mahupun dengan tindakan undang-undang.

“Dengan ini (tindakan susulan kepada Hassan), mesej yang disampaikan oleh Warisan kepada wakil rakyat mereka yang lain adalah jelas.

“Bagaimanapun, isu atau perkara ini harus diperincikan mengikut lunas undang-undang sedia ada kerana pasti ada hujah bahawa hak dan kebebasan diguna pakai dengan merujuk kepada undang-undang tertinggi iaitu perlembagaan,” kata beliau.

Sebelum ini, tular satu video yang menunjukkan Hassan melafaz ikrar kesetiaan selain berjanji akan meletak jawatan sebagai ADUN sekiranya beliau meninggalkan parti.

Video berkenaan turut ditayangkan kepada media oleh Shafie pada Isnin selepas beliau mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat parti itu.

Beliau kemudian berkata, tindakan susulan akan diambil kerana mendakwa ikrar kesetiaan dan surat peletakan jawatan sekiranya Hassan meninggalkan parti dilafaz serta ditandatangani sendiri oleh ADUN Sebatik itu di hadapan ramai saksi termasuk peguam-peguam parti.

Lafaf ikrar kesetiaan Hassan itu didakwa dibuat September lalu, iaitu sebelum hari penamaan calon PRN Sabah.

Semalam, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua menghantar surat peletakan jawatan Hassan ke pejabat DUN Sabah.

Dalam perkembangan sama, Hassan menerusi Facebook mengesahkan beliau melafazkan sumpah kesetiaan itu namun mendakwa ia dibuat dalam keadaan terpaksa.

“Hari ni viral video aku janji dan sumpah saya di media sosial. Betul, saya bersumpah tapi sumpah ini tidak sah kerana terpaksa, sekiranya saya tidak bersumpah, saya tidak akan dicalonkan,” kata beliau pada Isnin.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/03/sukar-untuk-warisan-halang-wakil-rakyat-mereka-melompat-kata-penganalisis/