Pengakuan Takiyuddin buktikan dakwaan pemimpin AMANAH selama ini

Pengakuan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan yang mengatakan usaha penyatuan antara PAS dan UMNO bermula sejak 2015 dalam Mesyuarat Agung PAS Kota Bharu mengesahkan dakwaaan sebahagian besar pimpinan PAS pada ketika itu bahawa usaha ini wujud.

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Takiyuddin juga bermati-matian menafikan dakwaan kerjasama ini dan menuduh ia adalah fitnah daripada lawan politik.

Malah, beliau juga sering kali mengatakan tidak wujud sebarang perbincangan bersama UMNO sehingga berlaku perpecahan besar dalam PAS.

Dengan pengakuan terbaru ini, ahli-ahli PAS wajar menilai semula kejujuran barisan pimpinan mereka yang selama ini berbohong dan sanggup menipu demi menjaga survival politik peribadi.

Pengakuan ini juga mengesahkan PAS hari ini sudah hilang jati diri dan terpesong jauh daripada landasan perjuangan asal yang mementingkan ‘amar makruf nahi mungkar’ apabila sanggup bekerjasama bersama kleptokrat yang telah merosakkan negara.

Justeru, seruan kepada semua penyokong PAS untuk menghukum pimpinan yang tidak jujur dan penuh dengan kepura-puraan semata-mata mendapatkan kedudukan dan kuasa walaupun bersama perasuah dan kleptokrat.

MOHD SANY HAMZAN
Pengarah
Biro Mobilisasi AMANAH Nasional