Penerima vaksin Sinovac tak ambil dos penggalak bakal bertukar status ‘Tidak Lengkap’

Penerima vaksin Sinovac tak ambil dos penggalak bakal bertukar status ‘Tidak Lengkap’.Memetik laporan Astro Awani, menerusi kenyataan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022.

“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap dan individu tersebut tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Khairy turut memberitahu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diwujudkan semula bagi mempercepatkan pelaksanaan program pemberian dos penggalak. Langkah ini akan dimulakan di Lembah Klang.

Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan ketibaan varian Omicron Covid-19 yang menjadi kebimbangan serta bimbingan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19-Booster Immunization (CITF-B) pada 8 Disember 2021″.

BACA: Selepas kenaikan harga barang, rakyat diarah bersiap sedia dengan kenaikan harga elektrik pula
Pembuli boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda RM715K
Lelaki Rohingya bergelar ‘Long Tiger’ berjaya lolos lokap mahkamah

CATEGORIES