Penerima 2 dos Sinovac perlu dipertimbang dapat dos ‘booster’ pula

KKM

Penerima 2 dos Sinovac perlu dipertimbang dapat dos ‘booster’ pula. Kerajaan harus mempertimbangkan ujian percubaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 kepada penerima Sinovac, kata bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam.

Cadangan itu susulan kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang berkata kerajaan tidak mempunyai data mencukupi untuk memutuskan pemberian dos ketiga itu.

Gesaan untuk pemberian dos ketiga vaksin itu dibuat disebabkan timbulnya kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin keluaran China terbabit terutama terhadap varian yang lebih mudah berjangkit.

Baru-baru ini, kajian di Hong Kong menunjukkan mereka yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech mempunyai daya ketahanan tubuh 10 kali lebih tinggi berbanding mereka yang diberikan vaksin Sinovac.

Sinovac

Subramaniam berkata beliau menghormati sikap berhati-hati kerajaan yang ingin mendapatkan lebih banyak data tetapi negara perlu mengambil langkah proaktif menerusi ujian percubaan itu.

“Ini boleh meningkatkan keyakinan dan perlindungan kepada mereka yang sudah diberi suntikan vaksin Sinovac,” katanya.

Menurutnya, Chile dan Seychelles, yang menggunakan vaksin keluaran China, melaporkan peningkatan bilangan kes Covid-19 walaupun mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi antara 65% hingga 70% daripada rakyatnya.

“Analisis membuktikan Sinovac hanya mempunyai 65% keberkesanan terhadap jangkitan simptomatik berbanding 96% dan 92% keberkesanan vaksin Pfizer dan AstraZeneca,” katanya.

Katanya, walaupun vaksin Sinovac mempunyai keberkesanan 87% dalam mencegah penerima daripada dimasukkan ke hospital, tetapi ia lebih rendah berbanding dua lagi vaksin itu.

Data terbaru katanya, menunjukkan vaksin Pfizer dan AstraZeneca terbukti berkesan dalam melindungi penerima yang dijangkiti varian Delta daripada menerima rawatan di hospital dan mencegah kematian.

“Malangnya, tidak terdapat banyak data bagi vaksin Sinovac dan pasukan saintifiknya mencadangkan dos ketiga mungkin diperlukan untuk meningkatkan keberkesanannya dalam melawan varian Delta,” katanya.

Katanya, ia adalah sebab mengapa negara lain yang menggunakan vaksin Sinovac mengkaji semula strategi mereka termasuk mencadangkan campuran vaksin dan dos ketiga untuk mengatasi kekurangan vaksin Sinovac.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/17/pertimbang-dos-booster-untuk-penerima-sinovac-kata-bekas-menteri-kesihatan/

Jika terlepas: Kemahiran memimpin Muhyiddin mula dipersoal