Pendirian Zahid patahkan usaha cari ‘titik pertemuan’ Pas, Umno

Zahid

Pendirian Zahid patahkan usaha cari ‘titik pertemuan’ Pas, Umno.Petang semalam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan memuat naik di media sosial gambar pertemuan minum petangnya bersama dua pemimpin kanan Pas.

Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Turut menemani Mohamad Hasan dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung BN, Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Di ketika bahang PRN Melaka semakin panas, tindakan beliau memuat naik gambar itu itu segera menimbulkan spekulasi bahawa UMNO dan Pas akan bergabung untuk mendepani pilihanraya tersebut.

Mengulas pertemuan tersebut, Mohamad Hasan atau Tok Mat berkata, ia hanya sekadar pertemuan biasa sambil minum teh tarik kerana mereka sudah lama tidak berjumpa.

“Kami minum teh tarik saja, lama tak jumpa,” katanya kepada sebuah portal berita.

Zahid

Jelasnya lagi, pertemuan semalam itu tidak menyentuh langsung soal agihan kerusi antara UMNO dan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, menyentuh hubungan UMNO dengan Pas, Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam gabungan Muafakat Nasional atau MN pada PRN Melaka tidak lama lagi.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana beberapa PRK yang pernah diadakan sebelum ini.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan Insya Allah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid dalam temubual bersama NRTV.

Ditanya apakah beliau kecewa dengan Pas dalam konteks hubungan MN selama ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikannya namun menegaskan bahawa UMNO telah “dikhianati berulang kali”.

“Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang ahli politik tetapi kita harus tahu bahwa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali.

“Tetapi kalau telah berulang kali, bukan saja kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut apa pengkhianatan yang dimaksudkan itu.

Dengan ini, nampaknya “tutup bukulah” soal kerjasama antara UMNO dan Pas untuk menghadapi PRN Melaka dan PRU15 akan datang.

Sebagaimana ditegaskan Zahid Hamidi, UMNO akan kekal bertanding menggunakan logo BN bersama rakan-rakan setia dalam gabungan itu.

Nampaknya juga, sia-sia dan buang masa saja minum petang anjuran Tok Mat semalam jika ia adalah sebahagian usaha untuk mendekatkan semula hubungan UMNO dengan Pas yang agak renggang sejak parti itu secara diam-diam menyertai Perikatan Nasional atau PN yang ditubuhkan oleh Bersatu.

Setelah berulangkali dikhianati, UMNO bukan saja sudah terluka hati, bahkan seperti tidak mungkin ada rasa percaya lagi kepada Pas yang tidak setia itu.

ShahbudinHusin 

BACA JUGA: Dipercayai terjun dari tingkat 8, warga emas maut

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] BACA: Pendirian Zahid patahkan usaha cari ‘titik pertemuan’ Pas, Umno […]

  • comment-avatar

    […] BACA: Pendirian Zahid patahkan usaha cari ‘titik pertemuan’ Pas, Umno […]