Pendidikan negara kita masih ketinggalan dari sudut teknologi – Tun M

Pendidikan negara kita masih ketinggalan dari sudut teknologi – Tun M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan corak pendidikan dalam negara masih ketinggalan apabila tidak memanfaatkan sepenuhnya teknologi dalam negara, sebaliknya masih memilih metadologi tradisional seperti melibatkan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid.

Mahathir berkata, adalah lebih baik apabila pelajar di seluruh negara dididik dan diajar oleh seorang guru berkualiti, menggunakan sistem rakaman dan dipancarkan di setiap kelas di seluruh negara.

Katanya, guru yang ada boleh bertindak sebagai penyelaras bagi membantu memahamkan pendidikan murid.

“Saya setuju keadaan pelajaran di dalam negara tidak menepati kehendak negara, sebab itu kita perlu kaji semula sistem pendidikan. Kita masih terperangkap dalam cara lama, di zaman ini kita boleh dapatkan guru terbaik, buat rekod tentang pelajaran dan siarkan di dalam kelas.

“Di zaman ini, kita ada teknologi moden, kita tidak guna teknologi moden untuk mengajar. Kita masih mengajar menggunakan guru di dalam kelas, kalau guru yang baik untunglah pelajar tetapi kalau guru tidak baik, maka rugilah pelajar,” katanya dalam dialog anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), bertajuk “Masa Depan Malaysia Ke Mana Kita?”

Sebelum ini, terdapat pelbagai kritikan terhadap Kementerian Pendidikan (KPM), yang dilihat masih tidak mencari penyelesaian terbaik terhadap pendidikan negara, ketika wabak Covid-19 melanda dan perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan kembali selepas ia dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, hari ini KPM menetapkan pembukaan sekolah untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, tahun 1 dan 2 di sekolah rendah di seluruh negara, manakala murid tahun 3 hingga 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Mahathir berkata, ketika ini pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran boleh diaplikasikan guru, seperti menggunakan YouTube, yang menurutnya boleh memberi pelbagai manfaat kepada pelajar di seluruh negara sekiranya digunakan secara berilmiah.

“Sekarang ini kita boleh belajar semua perkara melalui YouTube, dalam YouTube apa-apapun boleh diajar. Semuanya boleh diajar. Kita petik butang itu, apa yang kita hendak. Kita boleh tukar cara baharu dan tukar cara lama, dan boleh juga rekod pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/01/pendidikan-negara-masih-ketinggalan-tak-manfaat-teknologi-kata-dr-m/