Penangan PKP : Restoran terkemuka pun hampir lingkup

Penangan PKP : Restoran terkemuka pun hampir lingkup. Kerugian lebih RM200,000 sebulan atau sekurang-kurangnya RM7,000 sehari terpaksa ditanggung Restoran Me’nate Steak di sini, apabila jualan bungkus atau menggunakan perkhidmatan p-hailing tidak serancak ketika dine-in dibenarkan.

Perkara itu diluahkan Pengurus Cawangan Restoran Me’nate Steak Hub Shah Alam, Mohd. Julian Hussein Wilson Hussein, 41, yang memberitahu, kerugian yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), awal tahun lalu.

Katanya, walaupun jualan tidak memberangsangkan, perniagaan tetap diteruskan kerana syarikat itu perlu menanggung kos operasi serta menyewa beberapa buah rumah kepada 14 pekerjanya.

“Seperti di Shah Alam ini, kita rugi hampir RM7,000 sehari kerana perlu menanggung kos operasi dan overhead, sama seperti peniaga lain. Kita tidak mahu membuang mahupun memotong gaji 24 pekerja yang ada.

“Dengan kerugian yang dialami, saya berharap kerajaan dapat mendengar rayuan ini demi kelangsungan industri makanan dan berharap dine-in segera dibenarkan walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

pkp

Beliau menambah, hampir 90 peratus daripada pekerja sudah lengkap divaksinasi sekali gus boleh memberi keyakinan kepada orang ramai untuk makan di kedai sekiranya dibenarkan.

Turut mengalami nasib hampir sama adalah pengusaha sebuah lagi restoran terkenal iaitu Restoran Temerloh Catering yang mengakui kerugian dialami setiap bulan lebih RM10,000.

Menurut Pengurusnya, Shahrul Firdhaus Abdul Jazam, sebelum pandemik Covid-19 melanda, kedainya mampu menerima 240 pelanggan dalam satu-satu masa.

“Kalau dahulu, kita mampu menjual 600 ketul ikan patin sehari tetapi sekarang nak jual 300 ketul sehari pun susah. Kadangkala lauk tak habis terjual walaupun kita sudah kurangkan jumlah dimasak,” katanya dengan nada sedih.

Tambahnya, Pelan Pemulihan Negara (PPPN) Fasa 1 dan PKP sebelum ini menyebabkan niatnya untuk memulakan operasi satu lagi cawangannya di Setia Alam terbantut disebabkan pihaknya tidak boleh menjalankan kerja pengubahsuaian kedai di cawangan terbabit.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengambil pendekatan baharu bagi mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di Selangor, yang dianggapnya sebagai teruk.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/08/restoran-terkenal-hampir-terduduk/

 

BACA JUGA :

PPV Tanjong Karang bakal ditutup terus mulai 22 Ogos

Syarikat dengan 80 peratus pekerja lengkap vaksin boleh beroperasi penuh

Pemimpin politik perlu duduk semeja berunding, kata Nasrudin

COMMENTS

Wordpress (0)