Pemuda Umno desak Wan Saiful jawab 7 kegagalan kerajaan PN

Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid menyifatkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sudah terdesak untuk menyalahkan pembangkang berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Bersatu langsung tidak menjawab setiap kegagalan yang didakwa sebelum ini mahupun penjelasan mengapa kegagalan tersebut berlaku tetapi sekadar mengalihkan pandangan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertindak atas kepentingan peribadi.

“Bersatu turut mengulangi bahawa jumlah keseluruhan pakej bantuan RM500 billion yang telah dikeluarkan oleh kerajaan PN dalam rangka membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara ternyata gagal dan jumlah tersebut juga gagal sampai kepada golongan yang memerlukan.

pemuda umno

“Sekiranya pakej bantuan kerajaan ini bersifat inklusif dan bersasar terus ke golongan yang amat memerlukan, maka tidak timbul isu rakyat mengangkat bendera putih kerana terdesak mahukan bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustafa juga menyatakan kesedihan di atas pendedahan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berhubung kes kecurian di pasar rayanya sehingga melibatkan barangan keperluan asas seperti ikan kembung dan sayur-sayuran.

“Situasi ini amat menyedihkan melihat keadaan rakyat yang menjadi begitu terdesak sehingga sanggup melakukan apa jua cara untuk mendapatkan sesuap rezeki.

“Begitu juga dengan polisi-polisi kerajaan yang tidak konsisten, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separa masak dan berubah-ubah sehinggakan rakyat dikurung secara sia-sia tanpa pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Mustafa berpendapat, rakyat tidak boleh menerima lagi PKP yang diwartakan sebulan yang lalu, memandangkan kes jangkitan harian telah melebihi 9,000 kes sehari.

“Rakyat merasakan bahawa terdapat situasi pilih kasih yang mana ekonomi rakyat disekat tetapi ekonomi taikun dibenarkan beroperasi sehingga mengakibatkan yang miskin bertambah miskin dan yang kaya menjadi bertambah-tambah kaya.

“Begitu juga dengan seruan kononnya mengajak seluruh pemimpin parti politik untuk bersama dan menumpukan usaha dan tenaga menghadapi cabaran ini tetapi kerajaan PN sendiri tidak pernah menghiraukan saranan dan tuntutan pemimpin politik UMNO sehinggalah keadaan menjadi sangat mendesak,” katanya.

Pada masa sama, Mustafa berkata, Pemuda UMNO pernah menyatakan lima tuntutan utama untuk membantu rakyat tetapi tidak dihiraukan oleh kerajaan.

“Hanya apabila keadaan menjadi kritikal barulah tuntutan tersebut dipenuhi dan itu pun terdapat perkara yang boleh ditambah baik lagi.

“Sekiranya Bersatu benar-benar mahukan seluruh parti politik menumpukan usaha dan tenaga membantu menguruskan krisis ini, maka daripada awal lagi kerajaan tidak perlu menutup sidang Parlimen,” katanya.

Mustafa yang juga Pemuda UMNO Kuala Kangsar menyifatkan sidang Parlimen merupakan platform yang terbaik untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan daripada seluruh ahli dewan yang telah dipilih oleh rakyat sebagai wakil dan suara mereka.

“Maka, Wan Saiful dan Bersatu janganlah menuduh UMNO hendak merampas kuasa tetapi sedarlah keadaan negara di bawah pentadbiran kerajaan PN menjadi semakin kritikal, rakyat sedang merana dan ekonomi semakin hancur.

“Ini bukan agenda peribadi sesiapa pun, tetapi adalah fakta umum yang dikongsi bersama oleh segenap rakyat di negara ini. Ini adalah agenda menyelamatkan negara,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/bersatu-perlu-jawab-tujuh-kegagalan-kerajaan/

BACA JUGA : Pelakon Benjy dilapor meninggal dunia